Langkawi, 30 Oktober 2021 – Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan Kejohanan Golf Langkawi Cup 2021 di The Els Club Teluk Datai, Langkawi. Majlis pada malam tersebut dirasmikan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Seramai 90 orang peserta dari seluruh Malaysia telah menyertai Kejohanan Golf Langkawi Cup edisi keempat pada kali ini. Kejohanan ini merupakan acara sukan pertama yang dianjurkan di Langkawi selepas pembukaan semula pulau legenda ini pada 16 September 2021 yang lalu dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Kejayaan penganjuran acara sukan ini akan merintis jalan kepada penganjuran acara-acara lain di Langkawi dengan pembudayaan norma baharu.