Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air Peringkat Negeri Kedah Tahun 2019 bertempat di Dataran Chenang, Langkawi, Kedah pada 10 November 2019 yang lalu bermula jam 8.00 pagi sehingga 3.00 petang. Perasmian program tersebut telah disempurnakan dengan jayanya oleh YB Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sewaktu program tersebut berlangsung antaranya ialah Pameran Kebombaan dan Agensi Luar seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan alam Sekitar (JAS), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp), Jabatan Laut Malaysia dan EmpowerNCER.
Selain daripada itu, terdapat sesi taklimat dan latih amal bagi ‘Jom Belajar Berenang’, kaedah menyelamat, simbol dan papan tanda, tips keselamatan kebakaran dan teknik yang betul melakukan ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR). Demonstrasi penyelamatan di air dan dan pertandingan seperti Pertandingan Memadam Kebakaran ‘Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI)’, Fire Fighter Challenge, Pertandingan Mewarna Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-kanak (Kelab 3K), Pertandingan Membentang Hos yang diselaraskan oleh Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) dan Bomba Komuniti turut diadakan bagi memeriahkan acara program tersebut.
Antara dif-dif jemputan yang turut sama memeriahkan program ini adalah YBhg. Datuk Dr. Mary Wong Lai Lin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT serta YB Tan Kok Yew, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pihak LADA memberikan kerjasama penuh terhadap program ini dengan menyertai pameran oleh Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) dan pasukan Kajian Kepuasan Pelanggan LADA dari Unit Khidmat Korporat.