Langkawi, 29 April 2022 – Sebanyak empat penerbangan terus dari Singapura ke Langkawi mula beroperasi pada hari ini. Penerbangan AK733 milik syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad antara yang telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dengan membawa 180 orang pelancong terus dari Kota Singa ke Pulau Mahsuri.
“Penerbangan berjadual sebanyak empat kali seminggu ini merupakan penerbangan terus yang terhenti selepas pintu sempadan ditutup pada tahun 2020. Apabila pintu sempadan negara dibuka pada 1 April yang lalu, sebanyak empat penerbangan secara terus dari Singapura ke Langkawi telah mula dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan Scoot Air. Penambahan penerbangan milik AirAsia ini akan menjadikan secara purata 245 penerbangan diterima setiap minggu di sini,” ujar YBrs. Tuan Nasaruddin Abdul Mutallib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Penerbangan Sulung AirAsia Singapura – Langkawi di LIA.
Beliau berharap peningkatan kekerapan penerbangan ke pulau ini akan memacu mobiliti seterusnya memudahkan ketibaan pelancong ke Langkawi.
“Sehingga 31 Mac 2022, Langkawi telah merekodkan ketibaan sejumlah 574,260 orang pelancong. Dalam tempoh tersebut, kira-kira 45 peratus telah menggunakan pintu masuk udara. Kita menjangkakan jumlah pelancong antarabangsa ini akan terus meningkat dengan adanya penerbangan secara terus dari Singapura, lebih-lebih lagi apabila tukaran wang negara ini juga semakin tinggi,” tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat menyatakan bahawa syarikat penerbangan tersebut berbesar hati untuk mengalu-alukan penerbangan antarabangsa pertama mereka ke Langkawi pada hari ini dengan kapasiti penuh.
“Langkawi bukan sahaja memainkan peranan penting dalam kebangkitan sektor pelancongan negara bermula dengan gelembung perjalanan pada tahun lepas. Pulau ini juga berperanan sebagai pemangkin untuk penyambungan semula perkhidmatan kami selepas pandemik. Selain empat penerbangan mingguan dari Singapura, kami juga mempunyai 107 penerbangan mingguan ke Langkawi dari enam laluan domestik pada bulan Mei dan berharap dapat terus menambah kekerapan apabila permintaan meningkat. Selain daripada penerbangan dengan nilai hebat, AirAsia Super App kami juga menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan gaya hidup kepada pelancong Langkawi termasuk hotel, AirAsia Travelmall yang membolehkan barangan bebas cukai dihantar terus ke hotel mereka, AirAsia Ride dan banyak lagi. Semua ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Langkawi malah juga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan LADA dan semua pemain industri lain di Langkawi untuk menawarkan cara hidup AirAsia serta terus menjadikan Langkawi sebagai destinasi percutian dan beli-belah terkemuka di Asia,” ulas beliau lagi.
Bagi menggalakkan kemasukan lebih banyak penerbangan carter ke Langkawi, LADA turut menyediakan insentif Langkawi Charter Flight Programme dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.00 kepada syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas ke Langkawi. Insentif ini akan dilaksanakan secara first-come, first-served.
Sementara itu, Langkawi turut menjadi destinasi pilihan bagi aktiviti MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions). Sehingga April 2022, sebanyak enam kumpulan MICE dengan jumlah peserta seramai 574 orang telah melakukan aktiviti di pulau ini, manakala empat lagi kumpulan dengan anggaran kira-kira 1,300 orang peserta merancang untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan aktiviti MICE pada suku tahun kedua dan ketiga 2022.
LADA akan terus berusaha untuk memulihkan sektor pelancongan Langkawi yang telah terjejas. Antara perancangan yang telah diatur dan diperkemas adalah mempergiatkan aktiviti promosi di dalam dan luar negara, meningkatkan jaringan penerbangan terus ke destinasi yang berpotensi tinggi, melaksanakan pemasaran secara berfokus kepada pelancong kelas atasan (high-end tourists) serta mewujudkan produk-produk pelancongan baru dan berasaskan geopelancongan (geo-tourism) untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.