Satu kunjungan hormat oleh Unit Undang-undang LADA bersama pegawai-pegawai kehakiman Mahkamah Kota Kinabalu telah diadakan pada 29 Disember 2022 lalu bertempat di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Kunjungan ini telah disambut mesra oleh warga kerja Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu yang diiringi oleh Puan Ummu Kalthom binti Abdul Samad, Hakim Mahkamah Sesyen dan Puan Dayang Aidaku Amira Binti Aminuddin, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah serta kakitangan-kakitangan Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.

Lawatan dan kunjungan hormat ini adalah susulan daripada inisiatif dan Pelan Tindakan Unit Undang-undang LADA bagi mewujudkan jaringan dan hubungan kerjasama strategik bersama Agensi Badan Perundangan khususnya untuk perkongsian informasi berkaitan tadbir urus dan isu-isu semasa dari sudut perundangan selain menjadi medium pertukaran ilmu bagi memperkembangkan ilmu perundangan semasa bersama Agensi-agensi.

Pihak Mahkamah semasa sesi kunjungan ini telah berkongsi tatacara tadbir urus perundangan bersama wakil Unit Undang-undang LADA melibatkan lawatan ke beberapa ruang kerja Mahkamah termasuklah kamar bicara, Mahkamah Kanak-kanak, Muzium Mahkamah Sabah dan Sarawak serta tempat penahanan pesalah.

LADA juga telah diberi pendedahan khusus mengenai pengaplikasian teknologi dan sistem digital secara menyeluruh menggunakan Aplikasi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dalam mengurus dan menjalankan prosiding di Mahkamah yang tidak digunapakai di Mahkamah-mahkamah Semenanjung Malaysia. Teknologi ini juga dapat membantu Hakim dan Majistret membuat analisa hukuman yang sesuai dijatuhkan kepada tertuduh. Selain itu, Aplikasi digital ini juga digunapakai di dalam perbicaraan melalui bicara atas talian, rujukan kertas-kertas kausa secara digital, Mobile Court dan banyak lagi pembaharuan baharu yang boleh menjadi inspirasi dan rujukan untuk tambah baik tadbir urus Unit Undang-undang khususnya.

Kedua-dua pihak yakin bahawa hubungan dan libat urus ini perlu diteruskan untuk faedah bersama di masa akan datang.

Semoga perkongsian ilmu dan jaringan yang terbina ini diperkukuh dan diperluaskan lagi dari semasa kes semasa.