Langkawi, 10 April 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tidak melepaskan peluang berkongsi ilmu dengan komuniti setempat berkaitan penggunaan aplikasi design iaitu Canva terutamanya kepada usahawan yang menjalankan perniagaan menggunakan platform media sosial sebagai medium promosi dan pemasaran. Kursus ini diadakan di Ruang Daya Cipta (RDC), Kompleks LADA dan telah dikendalikan oleh Puan Noorhanani Binti Harun, tenaga pengajar dari Langkawi Tourism Academy@ Kolej Komuniti Langkawi.

Kursus ini telah disertai oleh seramai 15 orang yang terdiri daripada kakitangan LADA dan usahawan Langkawi. Matlamat kursus ini adalah memberi tunjuk ajar kepada peserta kursus mengenai penggunaan aplikasi Canva yang kini menjadi trend dalam menghasilkan dan mereka bentuk flyer, poster, brosur, template, video dan banyak lagi dengan lebih menarik, kreatif dan mudah berbanding aplikasi sedia ada.

Peluang ini perlu diambil oleh semua usahawan Langkawi di mana penggunaan media sosial merupakan saluran yang baik untuk mempromosikan dan memperkenalkan jenama atau produk mereka kepada orang ramai.

Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat kepada semua usahawan untuk terus meningkatkan produktiviti dalam perniagaan mereka.