Kursus Pengurusan Dokumen Terperingkat telah dilaksanakan dengan jayanya pada 25 – 26 September 2019 bertempat di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Langkawi. Perancangan pelaksanaan kursus ini adalah selaras dengan Pelan Operasi Latihan Tahunan LADA 2019 yang merupakan anjuran Unit Latihan dan Kompetensi, Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, LADA.
Seramai 28 orang peserta telah menghadiri kursus ini yang terdiri 11 orang pegawai dan 17 orang kakitangan LADA daripada Jawatankuasa Keselamatan Berjadual (JKB) serta pegawai dan kakitangan yang dibenarkan mengurus dan mengendalikan dokumen rahsia rasmi, serta Pendaftar Rahsia Jabatan. Sementalahan, objektif penganjuran kursus ini adalah untuk:
i. memberi pendedahan kepada peserta mengenai pentingnya pengurusan keselamatan dokumen kerajaan dalam jabatan;
ii. memastikan keteraturan pengurusan dokumen terperingkat di LADA diuruskan dengan bersistematik; dan
iii. memberi kefahaman tentang tatacara pengurusan dokumen rahsia rasmi jabatan.
Untuk makluman, kursus dua (2) hari ini telah dikendalikan oleh penceramah daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) iaitu Puan Noor Asa Binti Elang, Pengarah Keselamatan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Selain itu, modul – modul kursus yang difokuskan adalah seperti berikut:
i. Pengenalan Akta Rahsia Rasmi 1972;
ii. Pengurusan Keselamatan Dari Perspektif Keselamatan Dokumen;
iii. Pengurusan Keselamatan Dari Perspektif Keselamatan Fizikal dan Peribadi;
iv. Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi Menerima, Memproses, Menyimpan, Menghantar, Menilai dan Melupus; dan
v. Latih Amal, Pengendalian Buku Daftar AM 492, 492A dan 492B.
Alhamdulillah, kursus ini sangat bermanfaat di samping dapat memantapkan pengetahuan dan pemahaman setiap peserta yang hadir. Hasrat Pengurusan LADA adalah memastikan pengurusan dokumen terperingkat adalah teratur dan bersistematik. Syabas dan tahniah diucapkan kepada peserta yang hadir.