Langkawi, 29 Julai 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan Kursus Penyembelihan Bersama Komuniti Langkawi Tahun 2023 dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah (PAD), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Langkawi dan Masjid Aishah, Sungai Menghulu, Langkawi. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti Langkawi dengan penyertaan seramai 89 orang peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan dan wakil daripada masjid-masjid sekitar daerah Langkawi. Binatang sembelihan telah disediakan oleh pihak masjid iaitu sebanyak 4 ekor kambing, 75 ekor ayam dan 13 ekor itik.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai konsep halal dan haram dari sudut Islam serta memantapkan kefahaman kepada peserta mengenai penyembelihan menurut konsep halalan toyyiban. Seterusnya, melalui program ini peserta telah diberikan pendedahan secara teori dan amali mengenai kaedah penyembelihan binatang menurut Islam dan pendedahan tentang undang-undang atau peraturan-peraturan berkaitan dengan penyembelihan halal. Selain itu, program ini juga diadakan adalah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang telah disambut pada 10 Zulhijjah yang lalu.

#LADAdankomuniti
#LADAandcommunity
#LADALangkawi