Langkawi, 8 Januari – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menetapkan hala tuju pelancongan Langkawi bagi tahun 2023 berdasarkan konsep pemulihan dan pelancongan lestari di Langkawi.

Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata,
“Kita melihat tahun ini masih merupakan tahun pemulihan kepada sektor pelancongan Langkawi. Susulan itu, LADA menyasarkan kehadiran pelancong bakal mencecah seramai 3.2 juta orang pada tahun ini. Kita yakin jumlah ini relevan memandangkan kita telah menerima seramai 2.57 juta orang pelancong pada tahun 2022.”

Untuk memastikan usaha-usaha dan sasaran tersebut dapat dicapai, LADA telah merencanakan beberapa strategi pemasaran dan promosi, pengurusan acara serta pengurusan geopark. Kesemua strategi ini disatukan dan dilaksanakan dengan jalinan kerjasama pelbagai pihak bagi mengembalikan dan memeriahkan industri pelancongan Langkawi.

“Tahun ini bagi promosi pasaran domestik, LADA akan memberikan fokus kepada lima (5) buah negeri yang menjadi pasaran utama di Malaysia. Antara negeri yang dimaksudkan ialah Selangor (33.8%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (21%), Kedah 12.2%, Pulau Pinang (7.3%) dan Negeri Sembilan (5.7%) Manakala bagi pasaran antarabangsa pula, kita memberi fokus kepada empat buah (4) negara iaitu Singapura, Middle East (Negara Arab), India dan juga China. Sebanyak 16 program promosi telah dirancang pada tahun ini dan antaranya South Asia Travel and Tourism Exchange (SATTE) / Outbound Travel Mart (OTM), India dan Internationale Tourismus-Börse Berlin (ITB) Berlin & Roadshow, German bagi pasaran antarabangsa.” Ulas beliau lagi.

Turut dijelaskan bahawa, bagi memberi kelainan kepada pakej promosi di media baharu, tagline ‘Langkawi Best Wey’ menjadi alat pemasaran utama yang akan dijual di dalam aktiviti promosi domestik seperti MATTA Fair Johor, MATTA Fair Kuala Lumpur dan juga MATTA Fair Pulau Pinang.

Selain aktiviti promosi di atas, LADA juga telah merancang untuk melaksanakan enam (6) program FAM Trip. Program ini akan melibatkan pemain industri Langkawi di dalam setiap kali penganjuran.

i. FAM Trip My Airline pada Januari 2023;
ii. FAM Trip Halal Tourism Thailand/B2B pada Februari 2023;
iii. FAM Trip Malaysia Airline pada Mac 2023;
iv. FAM Trip Brunei/B2B pada April 2023;
v. FAM Trip Japan/B2B pada May 2023; dan
vi. FAM Trip Singapore Tourism Board/B2B pada Oktober 2023

Bagi penambahbaikan kemudahsampaian ke Langkawi pula, LADA sedang mengadakan perbincangan dengan pihak MAS dan IndiGo Airline untuk mewujudkan penerbangan terus dari London, United Kingdom ke Langkawi dan India ke Langkawi seminggu sekali.

LADA turut merancang untuk menganjurkan 19 acara pelancongan dan 34 acara/program komuniti selain acara utama Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023.

“Kita percaya bahawa acara LIMA’23 akan mendapat sambutan hangat dari para pelancong dan penduduk tempatan. Kira-kira seramai 300,000 pelancong dari dalam dan luar negara akan memeriahkan acara ini setelah 3 tahun acara ini tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Perjumpaan Bersama Pemain Pelancongan Langkawi Sesi 1/2023.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa, tahun ini merupakan tahun yang amat penting kepada LADA dan Langkawi kerana pulau ini akan berhadapan dengan penilaian semula Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Langkawi telah berjaya mengekalkan status kad hijau bagi tempoh tiga (3) kali penilaian sebelum ini dan diiktiraf sebagai Pusat Rujukan UNESCO Global Geopark pada 2019. LADA juga sedang usaha memperkenalkan kawasan pemuliharaan baru iaitu Gunung Raya Granite Geoforest Park dengan keluasan 4,930 hektar sebagai salah sebuah tapak warisan geologi.

Dengan pelbagai pengiktirafan yang telah diterima oleh Langkawi pada tahun lalu, pulau ini dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk menarik lebih ramai pengunjung pada tahun 2023 ini.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
8 Januari 2023

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.