Langkawi, 4 Ogos 2022 – Bersempena MATTA Fair yang berlangsung pada 5 hingga 7 Ogos 2022 di Amari Hotel, Johor Bahru, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan Sesi Business To Business (B2B) Bersama Pemain Industri Langkawi Dan Johor Darul Takzim.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin bin Abdul Muttalib ketika ditemui menjelaskan bahawa, LADA telah membawa seramai 23 orang pengusaha pelancongan Langkawi yang terdiri daripada travel agent, produk pelancongan dan pihak hotel di Langkawi bagi menyertai sesi ini.

“Negeri Johor merupakan pasaran domestik utama bagi Langkawi dengan mempunyai kemudahsampaian penerbangan udara secara terus setiap hari iaitu 7 kali seminggu. Kelebihan ini harus dimanfaaat bagi merancakkan lagi industri pelancongan di kedua-dua belah pihak. Sementara itu, Singapura merupakan hub perhubungan udara bagi rantau Asia Tenggara dan mampu menjadi pintu masuk bagi pelancong antarabangsa ke Langkawi. Pada masa ini, terdapat lapan (8) penerbangan terus antara Langkawi dan Singapura setiap minggu. Diharapkan selepas Sesi B2B ini berlangsung banyak pakej-pakej yang menarik dapat dihasilkan dan ditawarkan kepada pelancong.” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

Turut dikongsikan baru-baru ini LADA telah melancarkan Langkawi Charter Flight Insentive Programme (LCFIP) 2022 yang menawarkan insentif kepada syarikat penerbangan yang ingin membuat penerbangan sewa khas terus ke Langkawi. Syarikat penerbangan boleh mendapat ganjaran pulangan sehingga USD20,000 dengan syarat-syarat tertentu.

Dalam pada itu, pelbagai pakej pelancongan dengan tawaran istimewa turut disediakan antaranya pakej berbulan madu, pakej keluarga dan pakej pelancongan berkumpulan dalam kategori Meetings, incentives, Conferences and Exhibitions (MICE). Insentif ini dijangkakan dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke pulau ini terutamanya pada suku tahun ketiga dan keempat. Sehingga 31 Julai 2022, Langkawi telah menerima 1,402,221 pelancong dan sasaran kedatangan bermula Ogos hingga Disember 2022 adalah sebanyak 1 juta orang pelancong.

Dalam sesi yang sama beliau turut menyatakan, penganjuran Sesi B2B ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama (networking) sedia ada di antara pengusaha pelancongan di Langkawi dengan pengusaha pelancongan di Johor Baharu. Selain daripada itu, sesi ini juga merupakan inisiatif untuk memulihkan semula ekonomi Langkawi terutama dalam sektor pelancongan.

“Kami percaya bahawa usaha memulihkan ekonomi Langkawi berada di landasan yang betul kerana pulau ini telah dinobatkan berada di tempat yang ke-5 dalam Anugerah Terbaik Asia 2022 bagi 10 Pulau Teratas di Asia Tenggara oleh Majalah Travel + Leisure baru-baru ini.” tambahnya lagi.

Bagi mengukuhkan status Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancong dan juga sebagai lokasi penganjuran MICE bagi pasaran domestik dan antarabangsa, LADA juga telah merancang melaksanakan kempen pelancongan (roadshow) di beberapa negeri yang menjadi pasaran penting seperti di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke pulau ini.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
4 Ogos 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.