Langkawi, 9 September 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi telah berjaya mengungguli kategori ‘Heritage Article’ (Artikel Warisan) dalam anugerah bertaraf antarabangsa Pacific Asia Travel Association (PATA) Gold Awards 2021.

Kali ini, anugerah berprestij yang dianjurkan sejak 26 tahun yang lalu telah dilaksanakan secara maya pada 8 September 2021 dengan mengambil kira situasi penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia yang masih belum menunjukkan tanda penyusutan.

Hadir secara maya bagi mewakili LADA untuk menerima anugerah tersebut ialah Encik Azmil Munif bin Mohd Bukhari, Pengurus Bahagian Pelancongan.

PATA Gold Awards 2021 tajaan Macao Government Tourism Office (MGTO) telah diadili oleh panel penilai antarabangsa yang terdiri daripada 18 individu berkecuali dari Thailand, Taiwan, Jepun, Malaysia, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia. Penganjuran pada tahun ini menyaksikan sebanyak 113 penyertaan daripada 51 individu dan organisasi bidang kembara dan pelancongan (travel and tourism) seluruh dunia.

Secara keseluruhan, 20 kategori anugerah telah dipertandingkan, merangkumi dua tema utama berkaitan pelancongan iaitu Pemasaran (Marketing) serta Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial (Sustainability and Social Responsibility). 18 kategori ‘Gold Awards’ yang berbeza telah dianugerahkan kepada para pemenang serata dunia, antaranya termasuklah LADA. Kategori utama ‘Grand Title Winners’ telah dianugerahkan kepada dua pemenang ‘Best of the Best’ daripada dua tema utama anugerah ini.

Menurut Maria Helena de Senna Fernandes iaitu Pengarah MGTO, PATA Gold Awards dianjurkan setiap tahun sebagai platform penghargaan yang turut menampilkan amalan terbaik dalam industri kembara dan pelancongan dari setiap negara. Hal sedemikian memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati cara dan kaedah yang dilaksanakan oleh pelbagai pemegang taruh dari sektor awam dan swasta untuk terus maju ke arah pembentukan industri yang lebih lestari dan bertanggungjawab.

LADA amat berbesar hati menerima pengiktirafan berharga daripada PATA pada kali ini. Semoga anugerah yang diberikan menjadi antara sumber motivasi utama yang mendorong LADA untuk memastikan sektor pelancongan Langkawi turut bergerak ke arah mengutamakan kelestarian dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam menghadapi cabaran era penularan wabak COVID-19.