Langkawi, 21 April 2022 –. Jelajah Ramadhan LADA di Langkawi siri ke-3 bagi tahun 2022 telah menyantuni 32 orang anak yatim, asnaf dan B40 di kariah Masjid Ar-Rahman, Langkawi.

Program gandingan kerjasama bersama Langsura Geopark Sdn Bhd. (LGSB) bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf dan mengeratkan lagi tali silaturahim serta semangat kebersamaan antara keluarga LADA, anak syarikat serta komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata:

“Pada hari ini, LADA dan Langsura Geopark Sdn. Bhd. berbesar hati untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada anak kariah Masjid Ar-Rahman, Kedawang. Pihak jawatankuasa masjid telah memilih seramai 32 orang penerima bantuan yang akan menerima sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan asas bernilai RM150.00 bagi meraikan bulan Ramadan Al-Mubarak. Diharapkan sumbangan kecil ini dapat membantu mengurangkan beban penerima.”
Ini merupakan usaha berterusan LADA sempena menyambut kehadiran bulan Ramadhan. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada keluarga LADA dan kakitangan anak syarikat/syarikat bersekutu LADA untuk beramah mesra dengan komuniti setempat.

“Sebanyak tiga (3) buah masjid telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program iaitu Masjid Al-Aman, Kampung Yooi (April 2022), Masjid As-Sofiah, KEDA (17 April 2022) dan Masjid Ar-Rahman, Kedawang pada hari ini. LADA dan anak syarikat LADA telah menyalurkan sumbangan kepada 96 orang anak yatim, asnaf dan B40 dengan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan sepanjang program ini berlangsung. Selain itu, LADA juga akan menganjurkan Program Bicara Ilmu bersama Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim pada 26 April di Masjid Al-Istiqamah, Kampung Kuala Teriang. Seramai 20 orang komuniti Langkawi akan menerima sumbangan tunai berjumlah RM3,000.00 dengan nilai RM150.00 seorang,” kata Nasruddin bin Abdul Muttalib semasa ditemui hari ini.

LADA juga telah menyalurkan sumbangan kepada 17 buah masjid dan surau bagi menyokong usaha mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadhan ini. Sehingga 20 April 2022, sejumlah RM95,000.00 telah disalurkan melalui program kebajikan dan keagamaan bagi menyantuni komuniti di Langkawi.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
20 April 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.