Langkawi, 14 April 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjalinkan usaha sama dengan Syarikat Chenang Pima Resort Sdn. Bhd. (CPRSB) bagi Projek cadangan Pembangunan ‘Langkawi Eco Resort dan Eco Adventure Park’ di Kuala Sungai Melaka, Mukim Padang Matsirat. Projek ini meliputi pembangunan beberapa buah kemudahan seperti 13 unit villa dengan kolam renang peribadi (private pool villa), restoran, dewan banquet, kawasan pasar terapung, river cruise dan beberapa lagi kemudahan pelancongan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Abdul Muttalib semasa ditemui berkata:

“Projek ini dilihat bukan sahaja mampu memberi banyak manfaat kepada sektor pelancongan Pulau Langkawi malah bakal menyumbang kepada sektor sosioekonomi masyarakat setempat. Pengoperasian produk baru ini akan menyediakan 80 peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan selain dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.”

Tambah beliau, kita menjangkakan 20 orang usahawan baru bakal mendapat manfaat daripada projek ini apabila terdapat ruang niaga yang bakal disediakan.

Projek ini merupakan projek pembangunan semula kawasan yang turut dikenali sebagai Taman Sungai Kuala Melaka River Park ini merupakan sebuah kompleks pembangunan perniagaan. Hampir keseluruhan infrastruktur kawasan ini seperti ruang perniagaan dan pasar laluan broadwalk dan sebuah menara tinjau telah siap dibina.

Para pengunjung yang datang ke sini berpeluang menikmati pengalaman unik yang berbeza apabila menginap di resort disebabkan persekitaran alamnya yang indah lagi memukau. Kawasan sekeliling resort dan eco-adventure park yang dihiasi kehijauan sawah padi, pemandangan bukit-bukau, sungai, paya bakau dan sebagainya adalah antara ciri-ciri tarikan baru kepada para pengunjung kelak.

“Projek berkenaan akan dibangunkan secara berperingkat di kawasan seluas hampir 14.94 ekar di sebahagian tanah PT 503 dan PT 504 Kuala Sungai Melaka berkonsepkan “eco-friendly”. Fasa 1 projek ini akan memfokuskan kepada pembangunan kemudahan penginapan dan sokongan “Langkawi Eco Resort” manakala fasa 2 dan fasa 3 pula akan lebih memfokuskan kepada pembangunan “Eco Adventure Park” yang akan meliputi beberapa kemudahan bagi aktiviti-aktiviti seperti river cruise, berkayak, perkhemahan, pasar terapung dan sebagainya” kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Chenang Pima Resort Sdn. Bhd., Mohd. Ali Bin Makkit.

Turut hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan ‘Langkawi Eco Resort dan Eco Adventure Park’ di antara LADA dan CPRSB di Ombak Villa Langkawi ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Bin Md. Nor, Menteri Besar Kedah.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
14 April 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.