Langkawi, 31 Mac 2021 – Dalam usaha memperkasakan semula sektor pelancongan Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah memperkenalkan inisiatif Langkawi Networking Day 2021. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha yang telah ditetapkan di dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dan ia berkait rapat dengan Strategi Pembukaan Semula Langkawi Sebagai Destinasi Pelancongan Yang Selamat.
Fokus utama bagi pasca COVID-19 akan menumpukan kepada pelancongan domestik bagi menggerakkan semula pakej pelancongan dalam jangka masa pendek dan sederhana. LADA sedang merangka pelan tindakan pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi pelancongan dengan pendekatan norma baru dan ia melibatkan beberapa agensi kerajaan, swasta dan pemain industri di Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan berkata LND2021 mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 150 peserta yang terdiri dari pemain industri pelancongan, agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
“Penyertaan amat menggalakkan diterima dari permain industri pelancongan Langkawi dan beberapa negeri lain. Ini merupakan petanda baik kepada Langkawi. Saya yakin akan lebih banyak pakej pelancongan menarik akan ditawarkan kepada pelancong dalam sedikit masa lagi.” katanya ketika ditemui selepas melancarkan LND2021.
Pelaksanaan LND2021 merupakan inisiatif LADA mempergiatkan usaha mempromosikan Langkawi bersama-sama pihak industri pelancongan bagi Rombongan Berpakej (Domestic Travel Bubble) daripada negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke Langkawi. LADA turut memperkenalkan insentif MICE (Meeting, Incentive, Conference & Exhibition) kepada kumpulan MICE domestik mengikut syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan. Dengan adanya insentif ini diharapkan dapat merancakkan kembali segmen pelancongan MICE di Langkawi dan meningkatkan kehadiran pelancong di pulau ini.
Strategi dan inisiatif yang dilaksanakan ini diharap dapat memberikan manfaat kepada industri pelancongan Langkawi. LADA akan terus berusaha mempelbagaikan inisiatif sebagai langkah memulihkan ekonomi setempat dan menjadikan Langkawi lebih kukuh serta berdaya tahan dalam mengharungi fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19.