Langkawi, 23 Ogos 2021 – Bagi memastikan produk pelancongan mematuhi SOP COVID-19 secara optimum, Langkawi memperkenalkan Pensijilan Pematuhan SOP COVID-19 yang akan disertai secara sukarela oleh enam (6) segmen perniagaan dalam industri pelancongan iaitu hotel dan resort, makanan dan minuman (F&B), penginapan, peruncitan, agensi pelancongan dan tarikan pelancongan.
Pensijilan ini diterajui oleh LADA dengan kerjasama LTA, MKN, PDRM, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), KKM, MPLBP, MOTAC dan Tourism Malaysia. Antara syarat pensijilan ini adalah semua pekerja di bawah produk pelancongan berkenaan hendaklah telah menerima dua dos vaksin yang lengkap dan setiap produk mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja yang mengikuti Kursus ‘Certificate in COVID-19 SOP Education & Risk Assessment (CERIA)’ yang dikendalikan oleh LTA.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, seramai 800 orang peserta dianggarkan bakal menyertai kursus ini yang diadakan secara atas talian sebanyak enam (6) siri. Pensijilan ini adalah satu langkah di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi 2021-2022 (Langkawi T-REC 2021-2022) yang diumumkan pada Julai yang lalu.
LADA positif bahawa usaha ini mampu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pemilik produk pelancongan terhadap pematuhan SOP COVID-19 dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Langkawi.
#COVID19SOPEducation&RiskAssessmentCourse
#LangkawiCERIA
#MySAFELangkawiCampaign