Langkawi, 10 Disember 2021 – Langkawi berjaya raih enam anugerah di Majlis Malaysia Tourism Council Gold Awards 2021 anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang telah berlangsung di New World Hotel, Petaling Jaya. Dalam majlis yang sama, sebanyak 46 anugerah telah disampaikan kepada pemain industri pelancongan di Malaysia bagi mengiktiraf peranan mereka dalam memperkasakan industri pelancongan negara ini.

YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA berkata, “LADA menjangkakan kedatangan pelancong ke Langkawi akan meningkat dengan lebih baik pada tahun 2022. Dari 16 September hingga 5 Disember 2021, jumlah pelancong yang tiba telah mencecah seramai 472,572 orang dengan pendapatan sebanyak RM487 juta berjaya dijana. Jika dilihat, trend kemasukan pelancong ke Langkawi sentiasa meningkat setiap bulan mulai September lepas. Ini menunjukkan bahawa Langkawi mempunyai potensi besar untuk menyinar setelah sekian lama sunyi daripada kemeriahan pelancong akibat pandemik COVID-19.”

Berikut adalah enam anugerah yang telah diberikan kepada para penerima dari Langkawi:

i. Special Awards on Travel Bubble Initiatives – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA);
ii. The Best Cable Car in Malaysia – Langkawi SkyCab (Panorama Langkawi Sdn. Bhd.);
iii. The Best Malay Cuisine and Heritage Restaurant – Restoran Kerisik @ Laman Padi Langkawi (Langsura Geopark Sdn. Bhd.);
iv. The Best Eco-Friendly Destination – Tasik Dayang Bunting (Langsura Geopark Sdn. Bhd.);
v. The Best 3 Star Hotel (Sea View) – Nadias Hotel Langkawi; dan
vi. The Best Islamic Compliance Hotel – Adya Hotel Langkawi.

Anugerah-anugerah ini membuktikan bahawa Langkawi adalah sebuah pulau pelancongan bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman percutian yang unik dan mempesonakan bagi setiap pengunjungnya. Usaha bagi mengembalikan kegemilangan industri pelancongan pulau ini akan terus dilaksanakan demi kelangsungan ekonomi Langkawi. Diharapkan anugerah ini dapat memberi inspirasi kepada pemain industri di Langkawi untuk sama-sama memartabatkan sektor pelancongan pulau legenda ini.