Langkawi, 16 September 2021 – Langkawi mencipta sejarah sebagai destinasi pelancongan pertama yang dibuka bagi menerima ketibaan pelancong domestik di bawah program gelembung pelancongan (travel bubble) negara. Penerbangan pesawat MH1432 jenis Boeing 737-800 milik Syarikat Malaysia Airlines dengan kapasiti penumpang sebanyak 159 orang antara yang pertama membawa pelancong dari Kuala Lumpur ke Langkawi.

“Ini adalah kelegaan besar kepada pemain industri pelancongan di Langkawi yang rata-ratanya sudah bersedia untuk menyambut ketibaan pelancong,” kata Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.

Pada hari pertama pembukaan, dianggarkan sekitar 3200 orang pelancong akan tiba ke Langkawi melalui dua (2) pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Jeti Penumpang Kuah. Penjualan tiket bagi kedua-dua kategori pengangkutan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelancong tempatan. Dianggarkan sekitar 2200 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekiranya tiada pembatalan penerbangan, manakala tidak kurang daripada 700 orang tiba melalui Jeti Kuah jika tiada sebarang perubahan jadual bagi perjalanan feri yang telah ditetapkan.

LADA juga menjangkakan kemungkinan akan berlakunya penambahan daripada jumlah sebenar penerbangan serta feri yang dijadualkan. Namun, kemasukan pelancong masih dalam keadaan terkawal dan akan sentiasa dipantau supaya tidak mengundang kesesakan di Langkawi.

“Kerajaan negeri menyambut baik pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan. Kerjasama erat antara kerajaan negeri, MOTAC dan LADA akan diteruskan bagi memastikan Langkawi dapat terus dibuka dengan amalan norma baharu. Pihak berkuasa digesa untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan supaya kejayaan Langkawi sebagai destinasi travel bubble tidak dipertikaikan pada masa hadapan,” kata YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Melihat data kemasukan pelancong pada hari pertama pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi, LADA optimis jumlah ketibaan pelancong seramai 400,000 orang yang disasarkan dalam Langkawi Tourism Recovery Plan (T-REC) 2021-2022 dapat dicapai.