Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui inisiatif Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan sesi libat urus bertujuan memperkenalkan inisiatif-inisiatif di bawah Nexus Produktiviti Pelancongan bagi meningkatkan produktiviti perusahaan. Sesi libat urus pada 28 Februari 2023 diadakan di Kompleks LADA, manakala 1 Mac 2023 diadakan di Hotel Frangipani yang melibatkan lebih 60 orang pemain industri pelancongan dan wakil persatuan pelancongan utama dari Kedah dan Perlis.

Program Hotel Step-up Productivity diadakan untuk berkongsi amalan terbaik penggunaan tenaga, pengurusan dan operasi serta penggunaan teknologi digital bagi mengurangkan kos operasi perhotelan. Bagi kecekapan tenaga, TPN telah berkerjasama dengan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) melalui geran Energy Audit Conditional Grant (EACG) yang boleh dipohon oleh pihak hotel untuk tujuan audit tenaga. Projek perintis program ini sedang dilaksana dengan sasaran mengurangkan kos operasi industri perhotelan dengan kadar 10 ke 15 peratus.

Selain itu, TPN juga turut memperkenalkan kempen Sayangi Malaysia dengan matlamat meletakkan semula Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong. TPN juga dalam usaha menyebarluaskan pelaksanaan, mesej dan amalan Sayangi Malaysia serta menjemput semua pemain industri dan masyarakat untuk sama-sama menyertainya dan menggunakan logo Sayangi Malaysia dalam bahan promosi, cenderamata dan sebagainya.

#ProductiveTourism #MalaysiaProduktif #SayangiMalaysia
#LADA #MPC