20 Februari 2020, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menjemput YB Timbalan Menteri Kewangan, merangkap Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA bagi menyampaikan amanat kepada warga LADA tahun 2020. Di dalam majlis ini, YB Timbalan Menteri memberikan fokus ke atas beberapa perkara utama antaranya adalah memastikan semua lapisan pegawai dan kakitangan memahami akan fungsi penubuhan dan tanggungjawab LADA supaya perancangan yang dilaksanakan adalah mengikuti skop peranan yang telah ditetap. Bidang pelancongan sebagai nadi kepada ekonomi Langkawi akan terus diberi perhatian pada masa akan datang. Majlis turut dimaklumkan tahun 2019, mencatat kemasukan pelancong seramai 3.92 juta orang iaitu dengan peningkatan sebanyak 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Oleh itu, menjadi harapan pada tahun ini, tahun 2020 yang diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia agar Langkawi memperoleh lebih ramai pelancong. Kerajaan mensasarkan ketibaan pelancong sebanyak 30 juta pelancong dengan pendapatan RM100 billion. Ini secara terang menunjukkan LADA dan Langkawi memainkan peranan besar untuk menyumbang kepada pencapaian sasaran kerajaan kerana Langkawi merupakan pulau pelancongan dunia.
Selain itu, turut disarankan supaya LADA melihat bagaimana bidang yang kurang diberi perhatian, seperti pertanian organik dapat dibangunkan di sini. Dalam hubungan ini, hal ehwal pembangunan modal insan, kesejahteraan komuniti serta pembangunan usahawan juga perlu diperkasakan mengikut kesesuaian masyarakat Langkawi bagi memastikan masyarakat turut menikmati limpahan ekonomi dan pembangunan di bumi Mahsuri ini. Pembangunan sosial masyarakat setempat juga perlu diberi perhatian bagi mengimbangi industri serta pembangunan komuniti di Langkawi.
Organisasi yang cemerlang akan melahirkan pekerja yang terbilang. Oleh itu, semua kakitangan diseru untuk bekerja dengan tekun atau itqan’ dalam tugas-tugas seharian di pejabat, kerana kerja sebagai satu ibadah. Sentiasalah bekerja sebagai satu pasukan, supaya kelemahan dan jurang perbezaan dapat dikurangkan seterusnya mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan positif.