Tarikh : 23 Ogos 2023 (Rabu)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Wings by Croke Resort Langkawi

Kata Aluan
Terima kasih saudara /saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh, Salam Malaysia Madani dan Salam Sejahtera.

Salutasi

1. Pertamanya bagi pihak LADA saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua guru, ibu bapa penjaga dan anak-anak yang dikasihi.

Senja berarak bayu berpuput,
Gugur kenangan di celah jerami
Besarlah hati kami menyambut,
Datang bertamu ke majlis kami.

2. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat sama-sama berkumpul pada majlis yang dinanti-nantikan ini.

3. Saya juga mengucapkan selamat datang kepada para jemputan yang sudi hadir untuk bersama-sama meraikan penerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Langkawi (A-KAWI) pada petang ini.

A-KAWI

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Majlis A-KAWI merupakan program tahunan yang terdapat di dalam kalendar program pembangunan komuniti LADA. Program ini ialah satu inisiatif LADA dalam memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan/pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

5. Matlamat utama program ini, adalah tidak lain tidak bukan untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang bagi peperiksaan-peperiksaan sesi 2022. Dalam pada itu, program sebegini dilihat dapat memberikan motivasi kepada pelajar yang bakal mengambil peperiksaan pada tahun ini.

6. Saya berasa amat bersyukur kerana program ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama di antara LADA bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi. Selain itu, anak syarikat LADA seperti Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), Langsura Geopark Sdn. Bhd. (LGSB) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) turut memberikan sumbangan dalam menjayakan majlis pada malam ini.

Pelan Strategik LADA 2022 – 2026

7. Suka saya kongsikan di sini, LADA telah merangka Pelan Strategik LADA bagi tempoh lima (5) tahun mulai 2022-2026. Pelan ini memberi tumpuan ke arah membangunkan semula ekonomi Langkawi serta meningkatkan keupayaan komuniti agar mampu berdaya saing. Salah satu teras utama yang menjadi fokus LADA adalah pembangunan komuniti yang progresif dan dinamik.

8. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan teras pembangunan komuniti yang progresif dan dinamik dapat disempurnakan, tiga (3) bidang utama telah dikenal pasti iaitu pembangunan sosial, pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur kecil. Pelbagai inisiatif telah dirangka di bawah pembangunan komuniti yang menyasarkan pelbagai golongan bagi memastikan limpahan ekonomi dan manfaat dapat dinikmati oleh semua lapisan komuniti.

9. Sehingga Ogos 2023, LADA telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM405,268.00 bagi penganjuran program dan projek komuniti. Selain itu, LADA turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat atau CSR dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM58,700.00 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan juga pihak sekolah. Antaranya adalah sumbangan sempena Seminar Teknik Menjawab Soalan Matematik Tambahan 2023, Program Hari Anugerah Cemerlang Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat 2022, sumbangan penyertaan wakil Langkawi ke Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) bagi acara seperti hoki, bola jaring dan memanah.

10. LADA juga berhasrat untuk membekalkan kemudahan kipas kepada pihak sekolah untuk melengkapkan dewan peperiksaan mahupun kelas pelajar yang bakal menduduki peperiksaan sebagai langkah memberikan keselesaan kepada pelajar Langkawi. Insya’allah perkara ini akan diteliti dengan lebih lanjut dan bantuan akan disampaikan berdasarkan jumlah peruntukan yang diluluskan.

Tahniah Kepada Penerima

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Hari ini merupakan hari yang amat bermakna kepada 60 orang pelajar yang bakal menerima pengiktirafan A-KAWI. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada 60 orang penerima yang terlibat. Semoga dengan pengiktirafan ini akan memberikan suntikan semangat kepada seluruh pelajar Langkawi untuk terus meningkatkan usaha bagi melonjakkan nama Langkawi dalam pencapaian akademik mahupun sukan.

12. Selain itu juga, pada hari ini kita turut meraikan tujuh (7) buah sekolah yang akan menerima anugerah khas berdasarkan kategori yang telah ditetapkan. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak PPD Langkawi, pengurusan sekolah dan guru-guru di atas pengorbanan yang telah diberikan dalam mendidik generasi pewaris Malaysia.

Penutup

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Akhir kata, sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua penerima Anugerah A-KAWI bagi Tahun 2022. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh semua pada petang ini menjadi contoh kepada pelajar yang lain dan memberi impak yang positif ke arah kecemerlangan pendidikan di Langkawi secara keseluruhan. Terima kasih juga diucapkan kepada Jawatankuasa majlis ini yang diterajui oleh Unit Khidmat Korporat LADA. Tidak dilupakan pihak anak syarikat dan syarikat bersekutu yang turut memberi sumbangan dalam menjayakan majlis ini.

Buai laju-laju,
Sampai pokok sena,
Pelajar Langkawi terus maju,
Hingga berjaya terajui dunia.

14. Sekian. Wabillahi al-Taufiq wal hidayah, wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Terima kasih.