Langkawi, 25 April 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Besar Kompleks LADA sempena meraikan tamatnya Program Tadarus Al-Quran Ramadhan 1443H.

Majlis bermula dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Shukri bin Ishak dari Unit Khidmat Korporat (UKK). Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Al-Quran oleh seluruh peserta tadarus di bawah pimpinan YBhg. Ustaz Azhar bin Abdul Manan iaitu tenaga pengajar program tadarus Al-Quran LADA pada tahun ini. Beliau turut memimpin bacaan doa khatam Al-Quran pada akhir majlis.

Sempena mengimarahkan Ramadhan 1443H, Puspanita LADA buat kesekian kalinya telah menganjurkan Program Tadarus Al-Quran dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan LADA (KSKL). Program kali kelima ini telah berlangsung dengan jayanya menerusi penglibatan seramai 82 orang kakitangan dan pegawai LADA mulai 5 hingga 21 April 2022.

Turut hadir merasmikan majlis ini ialah YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Semasa berucap, beliau menggalakkan seluruh warga LADA untuk menyertai program ini yang akan turut dilangsungkan dalam bulan Ramadhan tahun hadapan. Program ini juga menurut beliau merupakan wadah terbaik yang memberi peluang kepada setiap warga LADA bukan sahaja untuk menggandakan amal ibadah di bulan mulia ini, malah juga untuk memperbaiki bacaan Al-Quran dan penguasaan ilmu tajwid.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada YBhg. Ustaz Azhar dan pihak penganjur yang telah bertungkus-lumus memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta yang terlibat. Semoga program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai warga LADA.

#RamadhanKareem
#LembagaPembangunanLangkawi
#MajlisKhatamAlQuran1443H