Langkawi, 28 Oktober 2021 – Malaysia dan Kanada telah mencapai kata sepakat untuk membina hubungan kerja lebih erat yang dimeterai melalui majlis menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang pengurusan geopark. Majlis ini dilaksanakan secara maya dan telah berlangsung serentak di pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Discovery UNESCO Global Geopark (DUGGp) pada hari ini.
MoU ini telah ditandatangani oleh wakil Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp), YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif LADA dari Malaysia dan John Norman, Pengerusi Discovery UNESCO Global Geopark (DUGGp) dari Kanada. Turut menyaksikan acara bermakna ini ialah Encik Azmil Munif bin Mohd Bukhari, Pengurus LUGGp dan Cyndy Stead, Pengurus DUGGp. MoU ini menandakan permulaan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam melaksanakan tugas dan fungsi masing-masing melalui pertukaran maklumat dan perkongsian pelbagai inisiatif geopark bagi manfaat bersama.
Dengan termeterainya perjanjian ini, kedua-dua pihak justeru telah menyatakan hasrat untuk penglibatan dalam aktiviti-aktiviti secara kerjasama berkaitan pembangunan lestari bagi dua geopark tersebut. Antaranya termasuklah aktiviti dalam bidang promosi pelancongan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti dalam wilayah geopark masing-masing.
“MoU ini bertindak sebagai pemangkin untuk menggalakkan kerjasama pada peringkat antarabangsa antara LUGGp dan DUGGp. Kedua-dua geopark amat menantikan pertukaran maklumat serta perkongsian pengalaman dan amalan terbaik untuk manfaat bersama. Sebagai contoh, kita akan saling bertukar ilmu pengetahuan tentang perlindungan geowarisan, popularisasi geosains dan pembangunan geopelancongan tempatan. Semoga dengan kerjasama ini, keadaan semasa pengurusan kedua-dua geopark akan semakin bertambah baik,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin.
Sementara itu, Norman turut menggambarkan keterujaan DUGGp dalam menjalinkan ikatan perjanjian bersama LUGGp ini. “Perjanjian secara bersaudara seperti ini menekankan lagi betapa pentingnya keberadaan kita dalam jaringan geopark seantero dunia. Melalui penyertaan dalam pelbagai projek serta program kerjasama seumpama ini, kita bukan sahaja dapat menjangkaui sempadan, malah menimba limpahan manfaat untuk industri pelancongan, sekolah-sekolah dan seluruh komuniti tempatan dalam geopark masing-masing. Kerjasama dalam perkara melibatkan budaya dan pelancongan sememangnya akan mendatangkan pelbagai faedah yang amat kita nantikan, khususnya dalam usaha untuk memulihkan ekonomi tempatan dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan baharu yang lebih mampan.”
#LUGGp_DUGGp
#Malaysia_Kanada
#UNESCOGlobalGeopark