Tarikh : 2 Disember 2023 (Sabtu)
Masa : 2.30 petang
Tempat : Dewan Besar, Kompleks LADA

KATA ALUAN
Terima kasih saudara/saudari pengerusi majlis,
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salutasi
(Sila rujuk lampiran)

PENGENALAN

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama hadir pada hari ini ke ‘Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Agro Park oleh Syarikat Bioalpha Wellness Sdn.Bhd di atas tanah milik LADA di Lot PT 506 dan PT 507 Kuala Sungai Melaka, Mukim Padang Mat Sirat, Langkawi’.

2. Di kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB. Dr. Haim Hilman Bin Abdullah selaku Exco Kerajaan Negeri Kedah – Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi & Inovasi kerana sudi hadir ke LADA dan Pulau Langkawi sebagai tetamu kehormat kita pada hari ini.

3. Serta tidak dilupakan juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Pengarah LADA, Pengerusi dan Ahli Panel Penasihat Pelaburan LADA, BPEN, NCIA, Invest Kedah, Jabatan dan Agensi serta semua yang turut hadir meluangkan masa ke majlis ini.

PELABURAN MALAYSIA DAN LANGKAWI, KEDAH
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia masih menjadi pilihan pelabur dengan jumlah pelaburan yang dicatatkan berjumlah RM264.6 bilion. Daripada jumlah tersebut, jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sebanyak 61.7% atau RM163.3 bilion. Manakala Pelaburan Langsung Domestik (DDI) adalah sebanyak 38.3% atau RM101.3 bilion pada tahun 2022.

5. Langkawi pula telah menerima sejumlah RM1.744 bilion pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 30% berbanding tahun 2021 yang merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM1.207 bilion. Manakala sehingga Julai 2023, Langkawi telah menerima sejumlah RM493 juta nilai pelaburan khususnya dalam pembangunan hotel dan kediaman.

6. LADA sebagai salah sebuah agensi pembangunan utama di Langkawi sangat menggalakkan lebih banyak projek pelaburan yang berteraskan pembangunan lestari yang mengimbangi pembinaan infrastruktur pelancongan bertaraf antarabangsa dengan keseimbangan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Penggunaan teknologi hijau serta teknologi rendah karbon yang berteraskan Sustainable Development Goal (SDG) adalah amat digalakkan. Dengan adanya pembangunan sebegini, ianya akan dapat meletakkan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul dalam aspek fasiliti dan produk pelancongan bertaraf antarabangsa seterusnya menjadi destinasi pilihan utama para pelancong dari dalam dan luar negara.

7. Industri pelancongan Langkawi dilihat berpotensi untuk terus berkembang di masa hadapan dengan pembangunan pelaburan komersil pelbagai bentuk seperti pembangunan hotel bertaraf 4 dan 5 bintang, produk eko-pelancongan dan pelbagai pembangunan bercampur di Langkawi. Pelaburan seumpama ini pastinya dapat memberi limpahan ekonomi kepada warga Langkawi melalui peningkatan jumlah pelancong ke pulau Permata Kedah ini.

8. Kita juga mengharapkan destinasi pelancongan di kawasan utara tanah air turut menjadi destinasi pelancongan pilihan melalui usaha-usaha pelbagai pihak dalam menawarkan produk pelancongan kreatif dengan strategi dan inisiatif bagi memperkasa pembangunan industri pelancongan di Langkawi, Kedah serta Malaysia.

CADANGAN PEMBANGUNAN LANGKAWI AGRO PARK

Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin yang dikasihi sekalian

9. Cadangan pembangunan di Lot PT 506 dan PT 507 Kuala Sungai Melaka, Mukim Padang Mat Sirat telah lama diusahakan oleh LADA sejak tahun 2017 lagi, iaitu selepas LADA mendapat hak milik tanah tapak tersebut. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menarik minat para pelabur.

10. Pada hari ini, Alhamdulillah, kita telah berjaya mencapai titik sepakat hasil rundingan dan perbincangan bersama pihak Syarikat Bioalpha Holdings Berhad. Kawasan Kuala Sungai Melaka di PT506 dan PT507 akan dibangunkan dengan konsep eko-pelancongan yang akan memfokuskan kepada taman herba bagi memberi pengalaman kepada pelancong merasai keunikan dan kepelbagaian tumbuhan herba tempatan di Malaysia yang digunakan oleh generasi terdahulu sebagai perubatan alternatif dan tradisional.

11. Tempoh pembangunan dijangka mengambil masa selama tujuh (7) tahun untuk siap sepenuhnya mulai daripada tarikh perjanjian ditandatangani. Dijangkakan para pengunjung boleh menikmati produk yang ditawarkan di kawasan tersebut pada tahun ke-3. Pihak LADA berkeyakinan bahawa pihak Syarikat akan dapat membangunkan projek ini sepertimana yang telah dirancang kerana pengalaman Syarikat dalam bidang kesihatan ini telah terbukti dengan pengeluaran produk suplemen kesihatan lebih dari 300 jenama sendiri dan produk tersebut mendapat pengiktirafan sijil halal daripada pihak JAKIM.

12. Oleh yang demikian, LADA berharap projek ini akan menjadi satu lagi tarikan baru di Langkawi dan akan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada serta dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini. Besar harapan pihak LADA dan pemegang taruh yang lain untuk melihat projek ini dapat dibangunkan dengan baik dan lancar serta dapat memberi manfaat kepada pelancong dan juga komuniti tempatan.

13. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis menandatangani projek kita pada hari ini . Sekian.,

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.