24 Mac 2021 – Satu Majlis Pelancaran Langkawi Cyclotourism Trail dan Memperkenalkan Ridescape @ Kuala Sungai Melaka telah diadakan pada hari ini. LADA telah mengenalpasti satu konsep produk pelancongan yang baru untuk dihebahkan di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG). Inisiatif yang dinamakan Langkawi Cyclotourism ini diperkenalkan sejajar dengan strategi ke-8 pelan tersebut iaitu Promosi Pelancongan Berfokus di bawah teras Budaya Setempat dan Kelestarian.

Langkawi Cyclotourism ini merupakan satu konsep melancong sambil berbasikal dan menerokai alam semula jadi di samping menikmati produk pelancongan, budaya dan juga hidup masyarakat setempat.

Dua inisiatif telah dirangka bagi menjayakan Langkawi Cycotourism ini. Inisiatif pertama adalah Pembukaan Semula Trek Berbasikal di Kuala Sungai Melaka yang merupakan kerjasama antara LADA, Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi dan komuniti Mukim Padang Matsirat. Kerjasama ini memacu projek perintis di bawah cyclotourism dengan pembukaan semula trek berbasikal di Kuala Sungai Melaka sepanjang 2.4 kilometer yang berlatarbelakangkan pemandangan hutan paya bakau dan sawah padi.

Manakala inisiatif kedua iaitu Risalah Langkawi Cyclotourism Trail yang mengandungi maklumat asas berkenaan trail/laluan cyclotourism seperti maklumat pusat jualan dan perkhidmatan penyelenggaraan basikal di Langkawi.

Cyclotourism ini diharapkan dapat meningkatkan peluang ekonomi baru bagi komuniti setempat dalam memulihkan ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 di dunia.