Langkawi, 3 September 2020 – Secara umumnya, industri pelancongan negara telah mengalami kejatuhan dan berhadapan dengan impak besar apabila dunia digemparkan dengan penularan wabak COVID-19. Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selaku agensi persekutuan di pulau ini telah mengambil inisiatif menyediakan Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi @ HELANG bagi memulihkan semula ekonomi penduduk setempat.

Di bawah strategi mempromosikan pelancongan Langkawi secara berfokus, LADA telah bekerjasama dengan Syarikat Happy Campers Productions Sdn. Bhd. bagi menerbitkan 10 video dokumentari mikro yang mengetengahkan produk pelancongan budaya Langkawi.

Pada hari ini, berlangsungnya Majlis Pelancaran Video Dokumentari Mikro yang disempurnakan oleh YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah. Majlis ini diadakan untuk memperkenalkan video dokumentari mikro yang membawa naratif baru Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan budaya. Kesemua dokumentari ini akan memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang memiliki nilai pendidikan dari sudut alam sekitar (nature), budaya penduduk setempat (people & culture) dan makanan (food). Penerbitan dokumentari mikro ini adalah berdasarkan konsep perkongsian pengalaman (storytelling) oleh individu atau tokoh yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri pelancongan Langkawi.

Promosi dokumentari mikro ini dilaksanakan melalui pautan semua media sosial LADA dan Walkabout Asia secara berjadual selama 10 minggu mulai 13 Ogos 2020. Dengan jumlah 500,000 orang peminat (followers) atau penonton bagi setiap video yang dimuat naik, Walkabout Asia mempunyai kredibiliti bagi memasarkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan domestik yang terbaik. Senarai video dokumentari mikro tersebut adalah seperti berikut:

  • i. Pandai Kayu
  • ii. Beras Terbakar
  • iii. Gua Pinang
  • iv. Herba Hutan
  • v. Mahsuri
  • vi. Jikey
  • vii. Dropstone
  • viii. Laktud
  • ix. Kebuk Arang
  • x. Menunggang Kuda

LADA positif bahawa penghasilan dokumentari mikro ini akan membantu meningkatkan keinginan pelancong domestik untuk merasai dan menikmati sendiri pengalaman bercuti di Langkawi. lni sekali gus dapat melonjakkan semula industri pelancongan Langkawi, meningkatkan pendapatan penduduk tempatan dan seterusnya memberikan manfaat kepada semua pihak.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
3 September 2020

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.