Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan Pertandingan Geopark Junior Guide (GpJG) 2019. Objektif program ini adalah untuk mengasah bakat pelajar – pelajar Langkawi bagi mendalami ilmu Geopark dan seterusnya menghargai kelebihan Pulau Lagenda ini. Selain itu juga, matlamat penganjuran program ini adalah bagi memupuk sifat ‘sense of belonging’ pelajar yang merupakan komuniti Langkawi untuk terus mencintai khazanah alam semulajadi dan seterusnya menjaga Langkawi Geopark untuk terus unggul di mata dunia.
Pada tahun ini, seramai 70 pelajar yang terdiri daripada 40 orang pelajar mewakili 10 buah sekolah rendah, 30 orang pelajar mewakili 6 buah sekolah menengah sekitar kepulauan Langkawi telah menyertai pertandingan GpJG 2019. Para peserta telah melalui 2 fasa pengadilan, iaitu sesi saringan yang telah diadakan di Kubang Badak Biogeotrail dan peringkat akhir telah diadakan di Langkawi Geopark Discovery Cantre (LGDC). Untuk makluman, pertandingan GpJG 2019 yang dianjurkan pada kali ini merupakan tahun kedua dilaksanakan setelah diangkat sebagai program yang pertama seumpamanya dalam rangkaian UNESCO Global Geopark dunia pada tahun 2018. Pemenang 5 terbaik bagi kategori sekolah menengah juga akan ditauliahkan sebagai ‘in house guide’ bagi kawasan Konservasi Kubang Badak Biogeotrail untuk tempoh 1 tahun dimana para pemenang tersebut layak menjadi pemandu pelancong dan menerima bayaran dengan kadar yang ditetapkan dan dibawah pemantauan oleh Renjer Geopark sahaja. Majlis penghargaan dan penyampaian hadiah kepada pemenang GpJG 2019 tersebut telah berlangsung dengan meriahnya pada 19 November 2019, jam 3.30 petang bertempat di Adya Hotel Langkawi