Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah selesai membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan LADA (PSP LADA) 2022-2026 yang kelak akan menjadi panduan dan hala tuju program pendigitalan LADA bagi tempoh lima tahun akan datang.
Justeru, satu Majlis Penutup Pembangunan PSP LADA 2022-2026 telah diadakan dengan kehadiran pihak MAMPU yang diketuai oleh Encik Subramani A/L Nagaiah, Perunding ICT Gred Khas C, Bahagian Perundingan ICT MAMPU.
Pelan ini juga akan bertindak sebagai panduan perancangan keperluan bisnes dan ICT yang melibatkan pengguna, rangkaian, keselamatan, peralatan ICT, aplikasi, data, pengurusan maklumat serta pembudayaan digital.
Empat teras mendokong PSP LADA 2022-2026 iaitu Pemerkasaan Perkhidmatan Digital Secara Inklusif Dan Bersepadu, Pengukuhan Prasarana ICT Yang Holistik Berasaskan Teknologi Terkini Dan Selamat, Pemantapan Tadbir Urus ICT Yang Dinamik dan Keupayaan Digital Yang Mampan. Diharapkan PSP LADA 2022-2026 dapat direalisasikan pelaksanaannya dalam memastikan visi ICT LADA menjadi peneraju transformasi digital Langkawi terlaksana.