Majlis Perasmian bagi melancarkan Ayer Hangat Village (AHV) berwajah baru oleh Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor telah diadakan pada hari ini. Inisiatif yang diperkenalkan ini adalah bertepatan dengan strategi Penjenamaan Semula Langkawi Sebagai Destinasi Pelancongan yang Selamat, Bersih dan Lestari (HELANG).

LADA bersama syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama bagi penjenamaan semula produk pelancongan di AHV. Hasilnya telah berjaya mentransformasikan AHV dengan identiti dan pengisian yang lebih menarik untuk diperkenalkan kepada pelancong, iaitu:

i. Kolam Air Panas Masin Semula Jadi (Natural Saltwater Hot Spring)

Kolam sebegini hanya boleh didapati di tiga lokasi di seluruh dunia iaitu di Pulau Langkawi (Malaysia), Kyushu (Jepun) dan Zhaori (Taiwan).

ii. Pertunjukan dan Persembahan Kebudayaan serta Kesenian Tradisional Melayu Lama

Produk ini melibatkan elemen kehidupan masyarakat Melayu dalam memartabatkan bangsa tersebut di mata dunia. Persembahan secara langsung dimulakan dengan gimik upacara perkahwinan, melenggang perut bagi wanita hamil, mencukur jambul, majlis berkhatan bagi kanak-kanak lelaki dan majlis persandingan bagi pasangan Raja Sehari; dan

iii. Produk pelancongan baru berasaskan ekopelancongan – Kampung Cendawan dan Kolam Ternakan Lobster Air Tawar

Pengunjung boleh menimba pengalaman dan melihat cara penanaman cendawan serta penternakan udang kara (lobster) sehingga proses penuaian dilaksanakan. Selain itu, produk-produk hiliran ini juga ada dihidangkan secara segar di AHV.

LADA yakin strategi serta tindakan yang telah dirangka dan dilancarkan pada kali ini bukan sahaja mampu mengembalikan pendapatan pelancongan di Langkawi, malah dapat memberikan manfaat dan limpahan ekonomi kepada masyarakat serta industri pelancongan. Penglibatan semua agensi kerajaan, pihak swasta, pemain industri, NGO dan komuniti setempat adalah tunjang utama bagi menghidupkan semula ekonomi pulau ini.