Langkawi, 14 September – Seiring dengan pelancaran projek rintis Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik Langkawi pada 16 September 2021 ini, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama-sama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan Majlis Gerak Kerja Penggiat Industri Pelancongan Langkawi Bersama NCIA dan LADA Sempena Pembukaan Gelembung Perjalanan Pelancongan Domestik untuk memulihkan industri pelancongan domestik Langkawi.
Majlis yang dihadiri oleh Ketua Pengarah Eksekutif LADA, Tuan Haji Nasaruddin bin Abdul Muttalib dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John turut menyaksikan pengiktirafan dan penyerahan sijil penyertaan kepada pemain industri pelancongan Langkawi bagi tiga Program Modal Insan (HCP) bersepadu NCER iaitu JomKerja@NCER, JomNiaga@NCER dan entrepreneurNCER.
Program-program ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 (SDP 2021-2025) – Impak COVID-19 dan Strategi, Projek, serta Program Pengurangan (Impak) yang diluluskan oleh kerajaan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menangani ketidakseimbangan dalam wilayah utara dengan memberi fokus terhadap usaha mengurangkan kesan penyebaran wabak COVID-19.
“Kerjasama strategik antara LADA dan NCIA ini ialah satu bukti komitmen kerajaan untuk membantu syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja dalam industri pelancongan tempatan untuk bangkit daripada kesan pandemik yang masih berterusan melalui pelbagai program modal insan NCER yang dilaksanakan,” kata Ketua Pengarah Eksekutif LADA, Tuan Haji Nasaruddin bin Abdul Muttalib.
“Pemain industri pelancongan di Langkawi amat menantikan pembukaan semula Langkawi setelah melalui situasi kehilangan punca pendapatan utama selama lebih 20 bulan,” tambah beliau.
Pemilik De Baron Holidays Sdn. Bhd., Encik Muhammad Zulhaimi bin Romli menyokong usaha NCIA dan LADA dalam membantu pemilik-pemilik perniagaan seperti beliau khususnya untuk menerima pinjaman bank yang amat diperlukan bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan. “Amat sukar bagi sesiapa sahaja untuk memohon pinjaman bank ketika pandemik sebegini melanda, malah industri pelancongan sendiri melalui saat-saat yang begitu mencabar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pinjaman ini sememangnya dapat membantu saya untuk terus berniaga, terutamanya untuk membiaya perbelanjaan operasi memandangkan pelancong kini bakal kembali melawat Langkawi,” kata beliau.
Datuk Seri Jebasingam Issace John yang turut menyaksikan acara yang dilaksanakan secara maya serta dihadiri oleh pegawai-pegawai LADA dan NCIA tersebut berkata, “NCIA sentiasa komited dalam membantu memulihkan industri pelancongan dan ekonomi Langkawi daripada situasi pandemik pada masa ini. Semoga semua program yang telah kami sediakan ini dapat memanfaatkan rakyat Langkawi secara menyeluruh dengan cara menyediakan pendapatan melalui lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan serta mengurangkan beban semasa mereka akibat pandemik ini. Kami juga merancang untuk menawarkan program-program modal insan kami kepada pemain industri pelancongan di pelbagai destinasi pelancongan lain dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) apabila tiba masa yang sesuai kelak.”
Sumber: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)