Langkawi, 15 September 2021 – Kerajaan bersetuju untuk membuka semula sektor pelancongan Langkawi di bawah program gelembung pelancongan sebagai projek rintis negara bermula 16 September ini. Sebagai persediaan awal, LADA dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan melancarkan tiga inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-REC) 2021-2022 sempena pembukaan semula Langkawi.
Menurut YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, “Pemain industri di Langkawi amat gembira dengan pengumuman berita pembukaan sektor pelancongan ini. LADA sebagai agensi peneraju pelancongan Langkawi telah mengambil tindakan proaktif dalam usaha mempersiapkan Langkawi untuk menerima kunjungan pelancong. Langkah awal LADA adalah dengan memperkenalkan beberapa inisiatif yang diusahakan bagi pembukaan semula Langkawi seperti Program Mysafe Langkawi, Hotline Pembukaan Semula Langkawi serta Market Place.”
LADA memperkenalkan T-REC pada Julai lalu dan ia merupakan asas kepada pembukaan semula Langkawi. Ketiga-tiga inisiatif yang diumumkan hari ini adalah relevan bagi memastikan Langkawi dapat dibuka dengan selamat kepada pelancong. Berikut adalah inisiatif yang dimaksudkan:
1. MySafe Langkawi
MySafe Langkawi merupakan program pensijilan sukarelawan yang direka khas untuk industri pelancongan Langkawi. Menerusi program ini, LADA dengan kerjasama MKN, Langkawi Tourism Academy (LTA) dan beberapa agensi kerajaan serta NGO yang lain telah mewujudkan Standard Operating Procedures (SOPs) yang akan digunakan oleh semua pemain industri pelancongan di Langkawi bagi memastikan premis mereka bersedia untuk menerima pelancong dan menjalankan perniagaan dalam norma baharu.
Pensijilan ini juga merupakan platform bagi memperaku premis-premis perniagaan tertentu bahawa langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya telah diambil sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19, seterusnya mampu meyakinkan para pelancong domestik untuk berkunjung semula ke Langkawi. Sehingga kini, LADA telah menerima 400 permohonan daripada pemain industri. Namun, hanya 45 permohonan sahaja layak untuk diaudit bagi menerima pensijilan MySafe Langkawi setelah saringan dibuat.
2. Hotline Pembukaan Semula Langkawi
Persiapan menyambut ketibaan pelancong diteruskan oleh LADA melalui penyediaan Hotline LADA. Hotline ini akan mula beroperasi pada 16 September 2021 dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam selama 7 hari seminggu. Seramai 25 orang petugas LADA akan bertugas sebagai pemudah cara bagi memberikan maklumat dan menjawab pertanyaan berkaitan SOP serta pelancongan Langkawi. Para pelancong boleh menghubungi Hotline LADA di talian 04-9600 888 dan 04-9600 889.
3. Market Place @ http://greatsales.naturallylangkawi.my/
Promosi pembukaan Langkawi diperhebatkan lagi dengan adanya satu platform khas bagi mempromosi dan menjual pakej pelancongan dengan harga yang menarik. Semua pelancong digalakkan membuat tempahan secara atas talian bagi mengelakkan kesesakan. Platform ini akan diaktifkan mulai 15 September 2021.
“Saya amat berharap semua pelancong dapat bercuti dengan selesa dan menikmati keindahan Langkawi tanpa mengenepikan pematuhan kepada SOP yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan gelembung pelancongan ini dapat diteruskan, seterusnya membantu mengembalikan kerancakan ekonomi di pulau ini,” kata YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.
Semoga inisiatif yang telah diperkenalkan ini dapat membantu Langkawi menyediakan pakej gelembung pelancongan (travel bubble) yang memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pelancong serta semua penggiat industri.