Langkawi, 24 April 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada pusat servis retort pertama di Langkawi iaitu Syarikat Makk Minah Enterprise melalui pembelian bakul retort keluli tahan karat (stainless steel retort basket). Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan di Kampung Belanga Pecah, Ayer Hangat oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan), YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal bin Wan Kamardin.

Pemilik syarikat ini iaitu Puan Nur Hafilah binti Abdul Talib bukan sahaja menyediakan perkhidmatan retort, malah beliau turut menawarkan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk untuk usahawan Langkawi bagi membantu mereka mengenal pasti produk yang sesuai menggunakan teknologi retort. Teknologi retort dapat membantu usahawan produk makanan dan minuman di Langkawi untuk meluaskan pasaran produk memandangkan teknologi yang digunakan dapat menjadikan makanan tahan lama dan enak tanpa menggunakan bahan pengawet.

Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat membantu Syarikat Makk Minah Enterprise untuk terus maju dan meningkatkan produktiviti pengeluaran produk keluaran mereka.