Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada Syarikat SM Colour Pro Enterprise, Syarikat Minamooq dan Syarikat Arena Lovely Cake House. Penyerahan bantuan perniagaan ini telah disempurnakan oleh Cik Waffa Wahida binti Zainol, Pengurus, Bahagian Pelaburan dan Pemudahcara Perniagaan, LADA. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Peluang Ekonomi Baru di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi dalam membantu usahawan yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Pemilik Syarikat SM Colour Pro Enterprise iaitu En. Mohd. Shukur bin Harif telah menjalankan perniagaan bengkel kereta dan syarikat ini menggunakan kaedah secara manual bagi mengecat kereta. Pihak LADA telah memberi sokongan bagi memajukan perniagaan beliau dengan memberi bantuan pemberian powder coating machine. Pemberian mesin ini dapat mempermudah dan meringankan kerja mengecat kereta dan proses pekerjaan menjadi lebih cepat. Selain itu, pengaplikasian bahan powder coating akan lebih cepat tersebar secara merata ke area permukaan objek berbanding dengan melakukan secara manual.

Manakala pemilik Syarikat Minamooq iaitu Puan Naimah binti Natzeri telah mengusahakan perniagaan coklat buatan tangan. Syarikat ini menggunakan kaedah secara manual untuk mencairkan coklat dan kaedah ini telah menyukarkan penghasilan coklat dengan kuantiti yang banyak. Dengan adanya bantuan daripada LADA iaitu pembelian chocolate tempering with wheeled mixer dan mould ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dalam perniagaan beliau.

Selain itu, pihak LADA juga telah memberi bantuan kepada Syarikat Arena Lovely Cake House iaitu pembelian display chiller. Pemilik syarikat ini iaitu Puan Mazreena binti Azmi telah menjalankan perniagaan bakeri. Dengan adanya bantuan dari LADA ini, diharapkan ianya akan memudahkan urusan perniagaan seharian beliau dan dapat meningkatkan pendapatan harian.

Pihak LADA sentiasa prihatin dalam membantu para usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan sumber pendapatan. Semoga bantuan yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada semua usahawan untuk terus maju ke hadapan.