Langkawi, 31 Mei 2020 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kini sedang merangka satu Pelan Tindakan Pemulihan Ekonomi Langkawi (PTPEL). Objektif pelan ini adalah untuk memulihkan ekonomi Langkawi yang terjejas kesan daripada penularan wabak COVID-19 serta sekatan perjalanan dan sempadan. Pelaksanaan pelan ini adalah berdasarkan tiga (3) teras utama yang didukung oleh 10 strategi dan 30 draf tindakan.
Sidang media pada hari ini bertujuan mengumumkan beberapa tindakan awal yang telah diluluskan oleh Jemaah Pengarah LADA pada 11 Mei 2020.
Untuk memurnikan Pelan Tindakan ini, LADA akan memulakan proses libat urus dengan penggiat industri pelancongan Langkawi yang dijangka berlangsung selama tiga (3) bulan. Tindakan susulan berhubung perkara ini akan dikongsikan dari masa ke masa dengan pihak yang terlibat dan juga warga media.
Pelaksanaan bagi pelan ini terbahagi kepada tiga (3) kategori tempoh masa iaitu tindakan jangka pendek (quick win), jangka sederhana serta jangka panjang. Berikut dikongsikan beberapa strategi yang telah mula diatur dan diambil tindakan untuk pengetahuan semua:
1. Strategi 1 – Sokongan kepada kawalan penularan COVID-19
1.1 LADA bersama anak syarikat LADA telah menyalurkan bantuan penyediaan makanan, bahan mentah, pelitup muka dan PPE kepada frontliners dengan peruntukan sebanyak RM53,465.00.
1.2 Membantu golongan asnaf semasa penularan wabak COVID-19 melalui Program Asnaf Care di bawah Panorama Langkawi Sdn. Bhd. berjumlah RM31,000.00.
2. Strategi 2 – Meringankan kesan kepada populasi berisiko
2.1 Penyaluran bantuan tunai kepada asnaf melalui kerjasama anak syarikat iaitu Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) serta Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui pelaksanaan program Ramadhan Fi Qalbi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM66,400.00.
2.2 Strategi mewujudkan peluang kepada masyarakat Langkawi untuk menjana pendapatan telah digerakkan. LADA menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000.00 sebagai bantuan untuk memulakan kembali perniagaan kepada usahawan dan peniaga kecil dengan syarat seperti berikut:
- i. Had maksima adalah tidak lebih daripada RM3,000.00 bagi setiap permohonan;
- ii. Pemohon hendaklah mempunyai lesen perniagaan yang sah;
- iii. Pemohon mempunyai pengalaman dalam perniagaan melebihi dua (2) tahun; dan
- iv. Pemohon hendaklah mempunyai pelan perniagaan yang berdaya saing.
3. Strategi 3 –Membuka peluang ekonomi baru
3.1 Beberapa konsep untuk mempelbagaikan asas ekonomi Langkawi akan diperkenalkan iaitu:
- i. Projek penanaman sayuran berdasarkan konsep Contract Farming Programme. LADA bersama anak syarikat Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) akan memulakan Projek Rintis dengan penyediaan lima (5) ekar tanah kepada 10 peserta;
- ii. Projek jualan hasil laut dengan memborong hasil tangkapan laut untuk dijual di pasaran Lembah Klang. Projek ini akan dikendalikan oleh LADA Eco-Tourism Sdn. Bhd. (LETSB) bersama komuniti pemandu teksi Langkawi;
- iii. Projek jualan buah-buahan dan sayuran tempatan secara runcit atau atas talian. Projek akan membentuk rantaian jualan dan dikendalikan oleh LADA Eco-Tourism Sdn. Bhd. (LETSB) bersama Koperasi Pasar Malam; dan
- iv. Projek perniagaan menggunakan platform atas talian. LADA akan membantu dan menggalakkan usahawan menjalankan perniagaan secara atas talian dengan mengunakan platform seperti langkawiruncit.com dan lain-lain yang berkaitan.
4. Strategi 4 – Menjenamakan semula Langkawi sebagai destinasi yang selamat, bersih dan lestari
4.1 Memperkenalkan Pelancongan Pintu-ke-Pintu (Door-to-Door Tourism) yang menepati perkhidmatan pelancongan ‘Customised Travel’.
- i. Seperti saranan UNWTO perkhidmatan ini memerlukan destinasi percutian menawarkan pakej yang selamat untuk semua segmen pasaran;
- ii. Melalui pakej ini, pelancong akan dijemput di kediaman mereka dan dibawa sehingga ke tempat percutian untuk melakukan pelbagai aktiviti serta kembali semula ke kediaman dalam keadaan selamat dengan mengambil kira keperluan penjarakan sosial dan protokol keselamatan lain.
4.2 Safety Messaging juga akan dilaksanakan dalam usaha menjadikan Langkawi sebagai destinasi selamat.
- i. LADA bersama agensi kerajaan di Langkawi iaitu KKM, PDRM, MOTAC dan MPLBP akan melancarkan peraturan awam yang perlu dipatuhi oleh setiap pelancong semasa berada di pulau ini;
- ii. la bertujuan untuk menyakinkan pelancong bahawa Langkawi merupakan destinasi selamat. Peraturan awam ini akan dikeluarkan mengikut garis panduan MKN dan disesuaikan dengan keadaan semasa di Langkawi; dan
- iii. Pemilik produk yang berjaya mengikuti SOP yang ditetapkan akan dianugerahkan ‘sijil hijau’.
5. Strategi 5 – Mempromosikan pelancongan Langkawi secara berfokus
5.1 Promosi jualan melalui pelancaran Langkawi Great Sale akan diadakan mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.
- i. Kempen ini bertujuan untuk membawa masuk semula pelancong ke Langkawi. Promosi jualan ini akan menawarkan diskaun istimewa kepada pengunjung iaitu antara 10 hingga 70 peratus; dan
- ii. Pemain industri yang terlibat dalam kempen ini terdiri daripada pengusaha-pengusaha hotel, kedai bebas cukai, produk pelancongan dan pengangkutan kereta sewa pandu sendiri.
6. Strategi 6 – Langkah-langkah fiskal untuk mengurangkan kesan kepada sektor swasta
6.1 Memahami akan ketegangan ekonomi yang dihadapi oleh semua pihak, LADA menyediakan pakej pengecualian sewaan/yuran pengurusan kepada penyewa premis milik LADA.
- i. Pengecualian ini membawa nilai sebanyak RM1,279,194.00. la akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang ditetapkan dan melibatkan kategori rumah sewa, premis perniagaan, operator di bawah perjanjian pengurusan/M&O serta penyewa tanah komersial. Anak syarikat LADA iaitu Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) juga menawarkan pakej pengecualian sewa yang melibatkan kos RM1,198,899.00; dan
- ii. Pengecualian yang diberikan adalah sepanjang tempoh PKP atau dengan had maksimum sehingga tempoh enam (6) bulan sahaja.
Kesimpulannya, Pelan Tindakan ini disediakan oleh LADA sebagai kesinambungan kepada pakej-pakej ransangan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memacu semula pembangunan ekonomi di Langkawi. Selain itu, perancangan dan pelaksanaan Pelan Tindakan ini akan diperhalusi melalui sesi rundingan yang akan diadakan bersama pihak penggiat industri pelancongan di Langkawi dan wakil masyarakat tempatan.
-TAMAT-
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
31 Mei 2020
____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.