Langkawi, 27 Februari 2022 – Yang Berusaha Tuan Nasaruddin Bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA hari ini telah merasmikan Program Bicara Usahawan Zero To Hero di Auditorium LADA. Program ini merupakan salah satu inisiatif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam usaha memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Langkawi dengan perkongsian pengalaman bersama penerima Tokoh Usahawan Wanita 2006 Puan Rozita Binti Ibrahim.

Program yang menyasarkan penglibatan 100 orang usahawan PKS di Langkawi ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada pemain industri kecil dan mikro Langkawi untuk terus bertahan dan memajukan semula perniagaan dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Andul Muttalib berkata,

“Menjadi harapan LADA kumpulan usahawan bumiputera di Langkawi akan terus merebut peluang yang ada ketika ini untuk mengembangkan perniagaan anda kepada segmen perniagaan yang dapat memberi pulangan berganda. Bidang keusahawanan ini memerlukan minat dan komitmen yang tinggi, anda perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan. Pengetahuan mengenai skil pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran sangat membantu usahawan dalam menentukan hala tuju perniagaan yang diusahakan.”

LADA juga telah merangka pelbagai strategi dan inisiatif untuk terus memacu pembangunan komuniti dan usahawan dalam pelbagai aspek selaras dengan matlamat dan pembangunan transformasi negara. Selain bantuan berbentuk fizikal, LADA turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan bagi meningkatkan pendedahan terhadap kemahiran dan ilmu yang diperlukan untuk terus berdaya tahan.

Bonda Rozita ketika ditemui berharap perkongsian pengalaman yang dilalui melebarkan syarikat Sendayu Tinggi Sdn Bhd yang ditubuhkan 23 tahun lalu dapat memberikan inspirasi kepada usahawan di Langkawi untuk terus berusaha memajukan perniagaan masing-masing. Syarikat itu menjadi titik mula kejayaan beliau sehingga tertubuhnya JRM Holistik Sdn Bhd yang memasarkan produk berasaskan herba. JRM Holistik Sdn Bhd kini mempunyai stokis dan pengedar di serata Malaysia, Singapura dan Brunei.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
23 Mac 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.