Langkawi, 27 September 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi melalui Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) dalam satu lagi inisiatif untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan Pulau Langkawi hari ini telah mengadakan Program ‘Gathering of Geoparkians’ sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021.
Program yang dianjurkan di Dash Resort Langkawi ini melibatkan kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada ahli geopark, rakan kongsi, pemain industri, wakil agensi dan perniagaan serta individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Walaupun turut melibatkan sesi ‘meet and mingle’ (ramah mesra) sesama peserta, program ini dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, antaranya termasuklah dari segi lokasi penganjurannya di kawasan pantai yang terbuka.
Objektif utama penganjurannya adalah bagi membolehkan penjalinan rangkaian hubungan yang bukan sahaja memanfaatkan LUGGp malah juga semua pihak yang terlibat. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.
“Bertepatan dengan tema Hari Pelancongan Sedunia 2021 iaitu ‘Tourism for Inclusive Growth’, LADA mengharapkan jalinan kerjasama yang terbentuk antara semua pemain industri, rakan strategik dan pemegang taruh dapat mendorong kebangkitan semula semua pihak yang terlibat. Kita turut berharap agar industri pelancongan Langkawi akan kembali rancak dan pelancong juga memilih pulau ini sebagai destinasi pilihan utama mereka untuk berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” ujar YBrs. Tuan Nasaruddin.
#NaturallyLangkawi
#LUGGp
#PatuhiSOP
#KitaJagaKita