Langkawi, 11 Julai 2023 – Bahagian Teknologi Maklumat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, UUM dan Time dotCom telah mengadakan Program Hari Kesedaran IT bertempat di Auditorium, Kompleks LADA. Program ini bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang pada 11 Julai 2023.

Sebagai agensi peneraju di Langkawi, program ini tidak terhad kepada kakitangan LADA sahaja malah turut menjemput kakitangan awam sekitar Langkawi serta pelajar-pelajar sekolah menengah untuk sama-sama memanfaatkan perkongsian ilmu ICT.

Antara pengisian program adalah slot ceramah berkenaan keselamatan dalam talian yang disampaikan oleh Encik Edwan bin Mohammad Aidid, Senior Executive of Outreach & Corporate Communication Cybersecurity Malaysia serta ceramah kesedaran kepintaran buatan (AI) yang disampaikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr Azizi Ab Aziz, Pengarah Pusat Science Technology Engineering Mathematics (STEM), Universiti Utara Malaysia. Program ini juga telah menampilkan En Zahriel Fadzhly bin Abdul Ghani, Solution Specialist dari Syarikat Time dotCom Bhd bagi menyampaikan perkongisan mengenai Bandar Pintar.

Selain itu, terdapat juga acara kuiz kesedaran IT yang telah menawarkan hadiah-hadiah yang menarik kepada para peserta. Program ini juga menyediakan booth pameran dan jualan yang melibatkan PC Langkawi, Gearz Gadget serta syarikat-syarikat telco utama di Langkawi iaitu Telekom Malaysia, Maxis dan juga Celcom yang turut serta dalam menjayakan program ini.