Tarikh : 17 April 2022 (Ahad)
Masa : 6.30 Petang
Tempat : Masjid As Sofiah, KEDA Wang Tok Rendong Langkawi

Salam Ramadan Al-Mubarak,
Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

1. Alhamdulillah, pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahi kita bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan dan gandaan pahala melebihi seribu bulan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta para sahabat Baginda yang mulia.

2. Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, diizinkan kita berhimpun di sini untuk sama-sama memeriahkan Program Jelajah Ramadhan Siri Ke-2 bersama anak kariah Masjid As Sofiah, KEDA Wang Tok Rendong pada petang ini.

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran tuan/puan semua dan terima kasih diucapkan kerana sudi meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama-sama kami pada hari ini.

4. Tidak dilupakan kepada pihak urus setia iaitu Unit Khidmat Korporat, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Langkawi Port Sdn Bhd., Ahli Jawatankuasa Masjid As Sofiah, dan Komuniti Kampung KEDA Wang Tok Rendong yang telah bekerjasama menjayakan majlis kita pada petang ini.

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

5. Program Jelajah Ramadhan ini merupakan acara tahunan LADA bagi mendekati dan beramah mesra dengan penduduk setempat. Matlamat penganjuran program ini adalah untuk berkongsi rezeki dengan golongan asnaf di samping mengeratkan lagi tali silaturahim serta semangat kebersamaan antara keluarga LADA, anak syarikat serta komuniti setempat.

6. LADA amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Langkawi dalam mendepani cabaran hidup pada masa kini. Sejajar dengan dasar CSR LADA, kami sentiasa berusaha untuk menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk bantuan kewangan atau barangan dalam menyantuni komuniti di Langkawi.

FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

7. Kedatangan Ramadhan kali ni amat istimewa kerana kita boleh melaksanakan aktiviti solat tarawih di masjid tanpa adanya penjarakan sosial berbanding tahun sebelumnya.

8. Namun begitu, saya harap semua pihak akan terus kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan bersama.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

9. Sepertimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa”.

10. Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa puasa disyariatkan bagi hamba-Nya yang beriman untuk meningkatkan dan menyempurnakan ketakwaan mereka. Takwa merupakan sebuah istilah yang mencakupi seluruh kebaikan. Para ulama menjelaskan bahawa takwa adalah melaksanakan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, kerana mengharap pahala dari Allah SWT dan kerana rasa takut terhadap azab dan hukuman-Nya.

11. Selain itu, Ramadhan menawarkan malam “Lailatulqadar” di mana malam tersebut lebih mulia dan berkat daripada seribu bulan. Marilah kita mengejar pahala dalam bulan Ramadhan ini sebagai bekalan di kehidupan seterusnya.

BANTUAN DAN SUMBANGAN

Hadirin Yang dirahmati Allah sekalian,

12. Bersempena program Jelajah Ramadhan pada hari ini, LADA dan Langkawi Port Sdn. Bhd. berbesar hati untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada anak kariah Masjid As Sofiah, Kampung KEDA Wang Tok Rendong.

13. Pihak jawatankuasa masjid telah memilih seramai 32 orang penerima bantuan yang akan menerima sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan asas bernilai RM150.00 bagi meraikan bulan Ramadan Al-Mubarak. Walaupun sumbangan ini tidaklah seberapa, namun diharapkan ia dapat membantu mengurangkan beban penerima.

14. Selain itu, LADA juga telah meluluskan Projek Kecil Komuniti Bagi Menaik Taraf kelas KAFA kepada bilik pengurusan jenazah dengan kos bernilai RM15,000.00. Dengan pemberian projek ini, LADA berharap ia dapat membantu pengurusan jenazah kepada anak kariah Masjid As Sofiah, KEDA.

15. Pada hari ini juga, LADA akan membuat penyerahan sumbangan bernilai RM17,000.00 kepada 10 buah masjid/surau bagi menampung perbelanjaan Program Kasih Ramadhan yang telah dirancang oleh jawatankuasa masjid masing-masing. Saya doakan supaya program yang dirancang dapat dilaksanakan dan mengeratkan ukhuwah sesama komuniti.

16. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya kepada pihak urus setia, anak syarikat Langkawi Port Sdn. Bhd., dan jawatankuasa Masjid As Sofiah.

17. Tidak lupa juga penghargaan kepada semua hadirin yang sudi hadir bagi bersama-sama berbuka puasa dan menyerikan lagi majlis pada kali ini.

Sekian,
Wabillahi taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.