Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Dearah (PPD) Langkawi telah menganjurkan Program Kemahiran Psikomotor & Psikososial Untuk Murid Berkeperluan Khas Sekolah Menengah Daerah Langkawi bermula 19 Februari 2020 sehingga 22 April 2020 (9 sesi) bertempat di Gelanggang Lawn Bowls, Kompleks Sukan Langkawi.
Kemahiran psikomotor adalah merupakan satu domain yang meliputi perilaku gerakan dan koordinasi jasmani, keterampilan motorik dan kemampuan fizik seseorang individu. Bermula dari tahap terendah iaitu peniruan sehingga adaptasi, kemahiran psikomotor amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran anak-anak istimewa atau murid berkeperluan khas.
Sementara kemahiran psikososial pula adalah penting bagi memberikan kesihatan mental yang baik bagi kanak-kanak istimewa ini dan boleh dicapai melalui aktiviti belajar sambil bermain serta melibatkan ruang lingkup di luar sekolah bersama komuniti dan masyarakat setempat.

Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif LADA dalam usaha memberi peluang kepada anak-anak istimewa yang terlibat melakukan aktiviti di dalam ruang lingkup persekitaran di luar bilik darjah.

Setiap sesi akan disertai oleh 25 orang murid berkeperluan khas sekolah menengah di daerah Langkawi dengan 2 orang tenaga pengajar daripada LADA.