Langkawi, 9 November 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganjurkan ‘Program Langkawi Selamat: Pembudayaan Norma Baharu Cegah Penularan COVID-19’ yang memberi fokus kepada keselamatan komuniti Langkawi. Objektif program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa pengetahuan masyarakat dengan nilai dan norma baharu supaya mereka dapat melindungi diri, keluarga dan seluruh komuniti, seterusnya menghalang wabak COVID-19 daripada terus merebak.
Untuk kepentingan keselamatan dan kesihatan masyarakat setempat serta para pelancong yang berkunjung ke Langkawi, pelaksanaan program ini melibatkan beberapa kumpulan sasaran seperti berikut:
i. Persatuan teksi/e-hailing;
ii. Sekolah dan pusat pendidikan;
iii. Persatuan pemandu pelancong; dan
iv. Peniaga kecil dan peruncit sekitar Langkawi.
Program ini dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa sesi. Sesi pertama melibatkan kawasan Oriental Village, Langkawi. Sesi selanjutnya akan dilaksanakan dengan kerjasama persatuan atau badan NGO di Langkawi yang berkaitan, antaranya di Pulau Tuba serta beberapa sekolah sekitar pulau legenda ini. Melalui kaedah turun padang, program ini akan dikendalikan dengan mendekati komuniti menerusi aktiviti edaran pelitup muka dan hand sanitiser kepada kelompok bersasar. Pencerahan juga akan diberikan kepada masyarakat berkaitan kepentingan menjaga kebersihan diri. Selain itu, banner kesedaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga dibekalkan di premis-premis awam bagi menggalakkan semua pihak untuk bersama-sama membantu petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak COVID-19.
“LADA menyediakan 30,000 kotak pelitup muka serta 14,000 unit hand sanitiser untuk edaran kepada seluruh ‘Keluarga Langkawi’ sebagai salah satu kaedah bagi mendidik dan memupuk kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat setempat ketika mendepani cabaran hidup bersama wabak COVID-19 ini,” kata YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA.
Dalam program yang sama, beliau turut mengulas bahawa, Langkawi sedang membuat persiapan bagi pembukaan semula pelancongan antarabangsa. Sehingga 5 November 2021, seramai 240,361 orang pelancong tempatan telah tiba ke Langkawi dengan purata kemasukan sekitar 8500 orang pelancong sehari. LADA optimis bahawa jika Langkawi dibuka kepada negara luar dengan pematuhan SOP yang ketat dan teratur, maka pulau ini akan menjadi destinasi utama pilihan pelancong dalam tempoh terdekat ini.