2 Februari 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan penanaman sehingga 10,000 batang pokok bakau menjelang Disember 2022 bagi menjayakan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi tempoh 2021 hingga 2025. Selain itu program ini juga merupakan salah satu usaha LADA memupuk kesedaran kepada komuniti bahawa pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya laut di Langkawi adalah tanggungjawab bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nasaruddin Andul Muttalib berkata,
“Sepanjang tahun 2021 program penanaman bakau ini tidak dapat dilaksanakan akibat penularan pandemik COBIT-19. Pada tahun ini program ini akan dilaksanakan secara berkala dengan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan, NGO, penggiat industri pelancongan, sekolah, serta komuniti setempat. Tumpuan penanaman akan diberikan kepada dua kawasan yang telah dikenal pasti iaitu Kubang Badak BioGeotrail dan kilim Karst Geoforest Park dengan sasaran 10,000 batang pokok hutan paya bakau pelbagai spesies akan ditanam di kedua lokasi ini menjalang Disember 2022.”

Program ini yang dilaksanakan secara bersiri ini, mendapat khidmat nasihat dan bimbingan dari Jabatan Perhutanan Daerah Langkawi bagi memastikan pokok yang ditanam membuahkan hasil. Selain itu, melalui program ini akan mempelbagaikan spesies yang ditanam seperti Bintangor Laut (Calophyllum inophyllum), Kelat Jambu Laut (Syzygium grande), Bebaru (Thespesia populnea), Ara (Ficus sundaica) dalam usaha memperkayakan lagi biodiversity hutan paya laut di Langkawi.

Pihak LADA juga sedang bekerjasama dengan koperasi yang menguruskan jeti pelancongan di Kubang Badak BioGeotrail dan kilim Karst Geoforest Park bagi memperkenalkan pakej pelancongan baru sejajar dengan hasrat Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui inisiatif yang telah diperkenalkan ialah 1 Tourist 1 Tree (1T1T).

“Pakej ini merupakan nilai tambah kepada pakej sedia ada. Selain daripada pelancong dibawa menelusuri sungai untuk menikmati keindahan semula jadi dan ke pelbagai spesies fauna dan flora di sepanjang sungai. Pelancongan akan mendapat pengalaman baru dengan aktiviti penanaman bakau. Lebih unik jumlah pokok yang ditanam oleh pelancongan akan direkodkan dalam aplikasi Penghijauan Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.” tambah beliau lagi.

Selain itu, LADA telah merangka 24 acara pelancongan untuk dianjurkan pada tahun 2022. Antaranya ialah Ironman Langkawi, Langkawi Geopark Enduro Challenge, Legendary Ride, Viper Challenge dan pelbagai lagi acara lain. LADA berharap penganjuran acara ini dapat diteruskan bagi mengembalikan kerancakan industri pelancongan di Langkawi. Di samping itu, acara-acara ini juga akan membantu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti Langkawi seterusnya turut mempromosikan semula pulau ini secara tidak langsung melalui liputan media sama ada secara tempatan atau antarabangsa.

-TAMAT-

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
21 Februari 2022

____________________________________________________________________________________________________
Untuk maklumat lanjut berhubung kenyataan/siaran media ini sila hubungi Unit
Khidmat Korporat (LADA) di talian 04-9600626.