Langkawi, 22 Disember 2022 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengendalikan Program Retreat Bersama Media mulai 21 Disember hingga 24 Disember 2022 bertempat di Johor Bharu.

Selain itu, turut dikongsikan bahawa pelbagai inisiatif telah diaturkan sepanjang tahun 2022 bagi memastikan promosi Pulau Langkawi dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Pada bulan Disember ini sahaja, sebanyak 12 acara pelancongan telah dan bakal berlangsung dan ini merupakan inisiatif LADA mengembalikan kemeriahan di pulau legenda ini terutamanya pada musim cuti sekolah.

Antara acara yang mendapat sambutan dari pelancong antarabangsa dan domestik ialah Pesta Bendang di Laman Padi yang telah berlangsung pada 16 hingga 18 Disember yang lalu. Akan datang adalah Langkawi Blues Festival pada 25 hingga 27 Disember 2022, Festival Kraf Langkawi pada 22 hingga 27 Disember 2022, Langkawi Cup Fishing Tournament pada 30-31 Disember 2022 serta beberapa acara sampingan lain.

Dengan pelan tindakan komunikasi yang lebih mantap pada tahun 2023, LADA berharap jalinan kerjasama bersama pihak media dapat membantu membangunkan hala tuju promosi dan publisiti kepada pelancongan Langkawi.

Dalam pada itu, program retreat media ini juga dapat memberi peluang kepada LADA untuk mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan akan pengurusan dan pembangunan infrastruktur / fasiliti selaras dengan peranan LADA membangunkan Langkawi dan mengendalikan pengurusan aset, fasiliti dan pelaburan. Susulan itu, perkongsian maklumat bersama Majlis Bandaraya Iskandar Putri serta lawatan ke Dataran Iskandar Puteri serta Terminal Feri Putri Harbor turut dilaksanakan dalam sesi kali ini.

LADA juga menumpukan kepada pembangunan pelancongan budaya Langkawi. Oleh itu, bagi mendalami usaha pemuliharaan seni dan budaya untuk memartabatkan ‘culture DNA’ Langkawi, sesi lawatan ke Yayasan Warisan Johor telah disempurnakan pada hari ini.