Langkawi, 8 Disember 2021 – Unit Undang-undang LADA telah menganjurkan Program Sehari Bersama Panel Peguam LADA. Seramai 50 orang jemputan yang terdiri daripada panel peguam, pengurus-pengurus bahagian dan unit serta kakitangan LADA telah menghadiri program ini.
Program yang dilaksanakan secara tahunan ini adalah satu usaha untuk mengeratkan lagi kerjasama antara barisan panel peguam dan semua bahagian serta unit LADA yang telah sedia terjalin. Tujuan utamanya adalah bagi membincangkan pelbagai isu terkini dan kerja perundangan, selain untuk menyalurkan kefahaman kepada barisan panel peguam mengenai fungsi dan aktiviti semasa LADA dalam melaksanakan pembangunan di Langkawi. Hal ini penting bagi memastikan perkhidmatan perundangan yang diberikan selari dengan objektif dan fungsi LADA menurut Akta 423 agar hak dan kepentingan LADA kekal terpelihara.
Menerusi program ini, pihak pengurusan LADA dan barisan panel peguam dapat saling bertukar fikiran dan pendapat untuk memastikan semua tindakan perundangan yang dilaksanakan adalah selaras dengan kehendak LADA serta pada masa yang sama tidak bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Program pada kali ini diatur dengan pengisian yang memfokuskan pembangunan di pulau-pulau kecil sekitar Langkawi yang berpotensi untuk dibangunkan oleh para pelabur. Turut hadir sepanjang pelaksanaan program ini ialah YBhg. Dato’ Suhara binti Salleh, Timbalan Pengarah Belanjawan Negara (Perkhidmatan Am) di Kementerian Kewangan yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah LADA.