Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bekerjasama dengan Marriott Group International yang terdiri daripada empat hotel utama di Langkawi iaitu The Ritz Carlton Langkawi, St. Regis Langkawi, Aloft Langkawi Pantai Tengah, dan Westin Langkawi Resort and Spa, telah berganding bahu untuk mengintegrasikan kelestarian alam sekitar ke dalam strategi dan keputusan perniagaan rekreasi mereka yang selaras dengan konsep dan objektif Geopark Global UNESCO.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kritikal bakau dalam menyokong biodiversiti, mengurangkan perubahan iklim, dan melindungi ekosistem pantai yang berkait rapat dengan pelbagai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu (13, 14, 15 & 17).
Inisiatif ini juga memperlihatkan usaha berterusan Marriott di Langkawi melalui aktiviti penanaman pokok bakau yang melibatkan tetamu hotel dan kakitangan secara mingguan. Kedua-dua organisasi berniat untuk memulakan program ini pada akhir Ogos, di mana tetamu hotel dapat merasai pengalaman menanam pokok bakau dan lawatan Geopark di the Langkawi Geopark Discovery Centre (LGDC) yang terletak di Taman Geoforest Karst Kilim.
Sebanyak 100 anak pokok bakau telah ditanam di sekitar kawasan tersebut. LADA berusaha untuk mempromosikan dan menyokong semua amalan yang peka alam di Langkawi UNESCO Global Geopark. Ayuh bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik!