Langkawi, 10 Oktober 2021 – Kempen ‘Langkawi Great Sale 2021’ telah dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri pada hari ini.

Kempen ini melibatkan premis-premis perniagaan daripada tiga (3) kategori iaitu kedai bebas cukai serta agensi dan produk pelancongan. Matlamat utamanya adalah bagi memperluaskan rangkaian perniagaan dan meningkatkan hasil jualan pakej pelancongan melalui promosi dan pemasaran dalam talian menggunakan platform khusus iaitu Market Place.

“Kali ini kita menawarkan nilai tambah baru melalui pengenalan Market Place. Platform e-dagang ini ialah ruang pasaran baru yang membolehkan penggiat industri pelancongan memasarkan produk mereka secara atas talian di portal greatsale.naturallylangkawi.my. Platform ini dijangka bakal digunakan oleh 360,000 orang pelancong bagi tempahan pelbagai pakej pelancongan yang ada di Langkawi. Selain membantu memulihkan kembali sektor pelancongan pulau ini, kita juga berharap lebih ramai penggiat industri pelancongan akan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui platform atas talian. Aspirasi kita juga adalah agar komuniti digital sektor pelancongan dapat diwujudkan di pulau ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin bin Abdul Muttalib.

“LADA menjangkakan kempen LGS ini mampu menarik kedatangan sehingga 400,000 orang pelancong tempatan menjelang akhir tahun 2021. Bagi bulan Oktober, kita berharap agar sasaran ketibaan seramai 60,000 orang pelancong dapat dicapai untuk mendapatkan gambaran awal sekiranya anggaran pendapatan pelancongan sekitar RM148,381,200 melalui kempen LGS ini dapat dijana sebagaimana yang telah disasarkan untuk hujung tahun ini. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya sempadan negeri kembali dibuka setelah 90 peratus populasi dewasa negara menerima dos vaksinasi lengkap kerana lebih ramai lagi pelancong tempatan yang akan dapat berkunjung ke Langkawi,” tambah Nasaruddin.

“Industri pelancongan Langkawi turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kedah. Pada tahun 2019, sejumlah 6.5 peratus atau RM1.7 bilion telah disumbangkan kepada sektor perkhidmatan. Namun, pada tahun 2020, pandemik COVID-19 telah menyebabkan nilai pendapatan pelancongan Langkawi berkurangan sebanyak 59 peratus kepada RM0.7 bilion. Oleh itu, untuk meningkatkan semula pendapatan negara, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan negara melalui pembukaan semula Langkawi mulai 16 September 2021 yang lalu,” ucap Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi ketika majlis perasmian LGS 2021.