14 Ogos 2024 (Rabu) – LADA menerusi Unit Undang-undang pada lalu telah menganjurkan satu Sesi Libat Urus serta Perbincangan bersama Agensi-agensi Penguatkuasaan, Perundangan dan Badan Kehakiman di Pulau Langkawi bertempat di Oriental Village.

Program ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Unit Undang-undang LADA, Pegawai-pegawai penguatkuasaan serta perundangan antaranya daripada Badan Kehakiman iaitu Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rendah Syariah Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Polis Langkawi, Pejabat Daerah Dan Tanah Langkawi (PDTL), dan Jabatan Bantuan Guaman Langkawi (JBG).

Penganjuran sesi libat urus ini merupakan salah satu inisiatif LADA untuk sentiasa mewujudkan jaringan dan hubungan kerjasama strategik Unit Undang-undang bersama Agensi-agensi di Langkawi khususnya berkaitan penguatkuasaan dan perundangan yang telah sedia terjalin di dalam perkongsian informasi berkaitan tadbir urus dan isu-isu semasa di Pulau Langkawi.

Hasrat penganjuran sesi libat urus ini juga adalah sejajar dengan fungsi dan peranan LADA sebagai agensi peneraju di Pulau Langkawi selari dengan Seksyen 4 Akta 423 LADA untuk memposisi dan menyelaras agensi-agensi berkaitan. Fokus utama jaringan strategik ini adalah menerusi metadologi dari aspek penguatkuasaan perundangan demi memacu ekonomi dan Pembangunan Pulau Langkawi.

Sesi ini turut melibatkan pertukaran pandangan dan isu-isu semasa di Pulau Langkawi dan juga telah disusuli dengan lawatan ke produk-produk pelancongan terkini di sekitar Sky Cab Langkawi.

Adalah diharapkan jaringan kerjasama ini terus utuh dan dapat diperkukuhkan untuk kelestarian dan kesejahteraan bersama.