Langkawi, 17 Jun 2021 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah memulakan Program Sumbangan Makanan Asas untuk komuniti Langkawi yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19. Program ini merupakan salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LADA kepada komuniti pulau tersebut dan dilaksanakan khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Objektif program ini adalah untuk menyantuni penduduk Langkawi dan meringankan beban yang ditanggung oleh mereka berikutan penularan pandemik COVID-19 yang telah melumpuhkan sektor pelancongan pulau ini. Antara golongan yang terjejas adalah golongan yang bekerja sendiri seperti penggiat industri pelancongan, pemandu teksi, pekerja perhotelan, pemandu pelancong, pengusaha inap desa (homestay) dan peniaga yang terpaksa menghentikan operasi dan perkhidmatan masing-masing bagi mematuhi arahan PKP dan mengekang penularan wabak COVID-19.

Program ini dilaksanakan secara berkala iaitu secara mingguan bermula pada 6 Jun 2021. Nilai sumbangan keseluruhan sebanyak RM30,000.00 telah dan akan disalurkan kepada 12 persatuan di Langkawi. Sepanjang tempoh dua (2) minggu pertama PKP 3.0, sumbangan barang keperluan berjumlah RM13,500.00 telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA kepada lima (5) persatuan, iaitu Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA), Persatuan Tuan Empunya dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi, Persatuan Pengusaha Homestay Langkawi, Koperasi Pengusaha-pengusaha Kereta Sewa dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Langkawi. Setakat ini, sumbangan yang disalurkan telah dapat membantu seramai 270 orang pengusaha sektor pelancongan yang kehilangan pekerjaan tetap.

Pihak LADA sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi atau pertubuhan supaya komuniti Langkawi mendapat manfaat sewajarnya dan tidak dipinggirkan dalam situasi yang getir ini.

#kitajagalangkawi
#demilangkawi
#patuhSOP
#CSRLADA