Langkawi, 30 Januari 2024 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melalui Bahagian Pelaburan Dan Pemudahcara Perniagaan telah mengadakan sesi Taklimat Berkaitan Prosedur Percukaian Kepada Usahawan Langkawi yang bertempat di Dewan Besar Aras M2, Kompleks LADA. Sesi taklimat ini dikendalikan oleh Penolong Pengarah Kastam Bahagian Perkastaman JKDM Langkawi iaitu Tuan Shahrizan bin Shahari.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri taklimat tersebut dan mereka terdiri daripada usahawan Langkawi yang menjalankan perniagaan seperti kraftangan, bakeri, makanan tradisional, coklat, produk kesihatan dan sebagainya.
Tujuan taklimat ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada para usahawan untuk mendapatkan info yang tepat berkenaan dengan prosedur percukaian di Langkawi termasuklah berkaitan duti import, duti export dan cukai jualan.
Sesi soal jawab di antara usahawan dan penceramah juga diadakan bagi memberi peluang kepada mereka untuk bertanya dan berkongsi tentang situasi dan isu yang dihadapi oleh mereka.
Semoga sesi taklimat ini dapat memberi manfaat kepada peserta.