Langkawi, 21 April 2022 – Program Tazkirah Ramadhan 2022 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerusi Unit Latihan dan Kompetensi (ULK), Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan (BSMKP) hari ini diteruskan lagi dengan kupasan tajuk “Ramadhan Bulan Al-Quran dan Lailatul Qadar”.

Penceramah jemputan pada kali ini iaitu YBhg. Ustaz Suhaimi bin Md Shuib telah menerangkan kelebihan bulan Ramadhan kepada para hadirin yang juga merupakan kakitangan LADA. Menurut beliau, Ramadhan ialah bulan yang dipenuhi keberkatan dan merupakan hadiah istimewa buat seluruh umat Islam. Secara lebih khusus, hadiah yang dimaksudkan ialah ketaqwaan yang dipupuk dalam jiwa serta ganjaran dan keampunan yang disediakan oleh Allah swt sepanjang bulan mulia ini. Oleh itu, Ustaz Suhaimi juga telah memperingatkan kesemua warga LADA dan seluruh umat Islam untuk bermuhasabah sekiranya kesemua hadiah ini berjaya diperoleh dengan meneliti jumlah amal ibadah sedia ada yang sudah dilaksanakan sepanjang bulan ini.

Selain itu, program tazkirah ini juga berlangsung secara interaktif dengan pelbagai sesi soal jawab antara penceramah dan para hadirin. Antara topik yang dibincangkan termasuklah persoalan fiqh ibadat seperti perihal bersuci dan berpuasa. Ustaz Suhaimi juga telah berkongsi pelbagai doa yang boleh diamalkan sepanjang Ramadhan termasuklah doa untuk mendapatkan Lailatul Qadar, malam istimewa yang dijanjikan ganjaran padanya seperti beribadah lebih lama daripada 1000 bulan atau 83 tahun.

Semoga semua perkongsian sepanjang sesi tazkirah ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat.

#RamadhanKareem
#TazkirahRamadhanLADA
#UstazSuhaimiShuib