Misi bantuan sukarelawan LADA dalam proses pemberian vaksin kepada komuniti Langkawi diteruskan, kali ini turut melibatkan PPV Dewan As-Syifa di Padang Matsirat. Selama lima hari bermula 7 hingga 13 Julai 2021, beberapa kakitangan LADA telah bertugas di PPV tersebut untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sepanjang tempoh tersebut, antara tugas penting yang dilaksanakan oleh sukarelawan LADA adalah membuat panggilan telefon kepada calon-calon penerima vaksin. Sebanyak 1520 panggilan telefon telah dibuat bagi pemberitahuan janji temu vaksinasi akan datang dan panggilan lanjutan kepada penerima vaksin yang tidak menjawab panggilan awal serta gagal menghadiri sesi vaksinasi mengikut masa yang telah dijadualkan. Panggilan telefon juga dibuat kepada individu dalam senarai penerima vaksin simpanan KKM.

Selain itu, sukarelawan LADA turut membantu penerima-penerima vaksin dalam proses pengisian borang berkaitan. Bantuan logistik juga dihulurkan melalui penyediaan kenderaan serta khidmat pengambilan dan penghantaran bagi beberapa penerima vaksin. Bantuan ini khusus bagi mereka yang menghadapi kekangan kerana ketiadaan individu yang dapat mengurus dan kenderaan untuk menghadiri janji temu vaksinasi.

Secara keseluruhan, seramai 2785 orang penduduk Langkawi telah berjaya menerima suntikan vaksin COVID-19 sepanjang tempoh lima hari tersebut. Suntikan ini merangkumi penerimaan dos pertama dan kedua vaksin Pfizer dan Sinovac.

LADA berharap agar bantuan yang dihulurkan oleh kumpulan sukarelawan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban petugas-petugas barisan hadapan KKM di Langkawi sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan. Semoga Langkawi berjaya mencapai matlamat imuniti kelompok secara sepenuhnya dalam tempoh masa yang terdekat.

#HerdImmunity
#SukarelawanLADA
#KitaJagaLangkawi
#JomVaksin
#PulauImuniti