Tarikh : 21 Februari 2022 (Isnin)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Jeti Kubang Badak, Langkawi

KATA ALUAN

Terima kasih saudara / saudari pengerusi majlis,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pendahuluan

Hadirin yang dihormati sekalian,

1. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama pada pagi ini di dalam Program Penanaman Bakau yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day) bagi tahun 2022.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada urus setia iaitu Bahagian Pelancongan LADA yang telah bertanggungjawab untuk menganjurkan program kita pada hari ini.

Sambutan World Wetlands Day

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Untuk makluman semua, tanggal 2 Februari telah diisytiharkan sebagai Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day). Sambutan ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk memulihara kawasan tanah lembap dan menekankan kepentingan dan peranan kawasan ini dalam ekosistem dan mitigasi perubahan iklim dunia.

4. Pada tahun ini International Union for The Conservation of Nature yang beribu pejabat di Switzerland telah mengetengahkan tema ‘Wetlands Action for People and Nature”. Tujuannya adalah bagi memupuk rasa tanggungjawab dan peranan manusia dalam mengekalkan kawasan tanah lembap yang sangat penting di dalam ekosistem. Selain itu, kawasan lembap ini juga menyediakan penghalang terhadap bencana alam seperti banjir serta membantu melawan perubahan iklim dan mencegah hakisan tanah.

Program Penanaman Bakau

5. LADA pada hari ini mengadakan Program Penanaman Bakau bagi menzahirkan tanda sokongan dan sekali gus membantu meningkatkan lagi kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tanah lembap di Langkawi.

6. Objektif program ini ialah untuk memaparkan usaha positif yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat dalam memulihkan tanah lembap, sumber dan biodiversiti untuk generasi akan datang. Program sebegini juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran bahawa memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, serta memupuk minat menanam pokok dan mencintai alam sekitar di kalangan komuniti tempatan dan pelancong.

7. Dalam hubungan ini, LADA telah merancang program jangka pendek dan jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran awam. LADA telah menetapkan sasaran sebanyak 10,000 batang pokok bakau akan ditanam menjelang Disember 2022 nanti.

8. Sebagai langkah awal, sejumlah 150 batang pokok bakau akan ditanam di sekitar Sungai Kubang Badak pada hari ini. Program ini akan dikenali sebagai Program Geomangrove yang akan dilaksanakan secara mingguan dengan sasaran penanaman sebanyak 210 batang pokok. Diharapkan usaha ini akan diteruskan bukan sahaja oleh LADA tetapi oleh semua pihak demi kelestarian hutan simpan paya bakau dan juga sektor pelancongan di Langkawi. Untuk makluman semua setiap aktiviti penanaman pokok yang dilaksanakan di Langkawi akan direkodkan di dalam aplikasi Penghijauan Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

9. Selain daripada itu, program ini juga tanda sokongan kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ‪2021-2025‬ oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Salah satu daripada inisiatif yang telah diperkenalkan ialah 1 Tourist 1 Tree (1T1T) secara berkumpulan yang akan memfokuskan kepada kawasan paya bakau bertempat di Kilim Karst Geoforest Park dan Kubang Badak BioGeotrail.‬‬‬‬‬‬‬

10. Sebagaimana semua sedia maklum, hampir 60% kawasan di Langkawi merupakan kawasan hutan simpan termasuklah kawasan hutan paya bakau. Oleh yang demikian, dari sudut pelancongan kawasan ini menawarkan daya tarikan yang tersendiri dengan kepelbagaian fauna dan flora yang unik.

11. Dalam usaha menjaga khazanah berharga ini, LADA telah merangka Pelan Pengurusan Langkawi Geopark (PPLG) 2012 – 2030. PPLG ini merupakan satu perancangan dengan pendekatan holistik, komprehensif dan keterlibatan pelbagai pihak berkepentingan. PPLG ini merupakan satu blueprint yang dapat memandu LADA dan agensi rakan kerjasama dalam merancang, melaksana, memantau dan menilai pelaksanaan program di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG).

12. Dengan halatuju yang jelas, Langkawi telah diiktiraf sebagai pusat rujukan geopark bagi Asia Tenggara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pengiktirafan ini diumumkan pada Simposium San’in Kaigan Rangkaian Geopark Asia Pasifik (APGN) kali ke – 4 di di Tottori,Jepun pada tahun 2015.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Sebenarnya, kita amat mengalu-alukan penyertaan dengan jumlah yang lebih tinggi daripada komuniti, namun berdasarkan SOP semasa, saya dimaklumkan bahawa maksimum hanya 150 orang peserta sahaja dibenarkan untuk menyertai program ini. Ini bagi memastikan pematuhan kepada SOP seperti menjaga penjarakan sosial serta lain-lain arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dapat dipatuhi. Saya yakin bahawa sebenarnya lebih ramai pihak mahu melibatkan diri dalam program konservasi sebegini.

14. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, persatuan dan kelab serta individu yang telah menggembleng tenaga dan usaha untuk menjayakan program ini.

15. Kejayaan penganjuran program sebegini akan merintis peluang bagi penganjuran program konservasi yang membantu memupuk kesedaran awam dikalangan komuniti tentang pentingnya kita memelihara dan memulihara alam sekitar.

Prestasi Pelancongan Langkawi

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Seperti tuan/puan sedia maklum, Langkawi amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Ini kerana kebergantungan aktiviti ekonomi kepada sektor pelancongan adalah melebihi 70% dalam kalangan penduduk pulau ini. Sektor ekonomi Langkawi sememangnya terjejas teruk terutamanya apabila larangan rentas sempadan negara dan negeri dikuat kuasakan pada tahun lalu.

17. Alhamdulillah, kejayaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 September tahun lalu telah membuahkan kejayaan. Setelah kebenaran rentas negeri diumumkan oleh Kerajaan bermula pada 11 Oktober 2021, ia sekali gus membantu merancakkan kembali sektor pelancongan dan kebudayaan di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan dan secara tidak langsung, mempercepatkan pemulihan landskap rantaian ekonomi yang terlibat.

18. Komuniti Langkawi kini boleh menghela nafas lega. Hotel, pengusaha premis perniagaan, produk pelancongan dan sebagainya mulai dibanjiri pelancong dan pengunjung dari seluruh Malaysia. Saya kongsikan sedikit berkaitan data statistik kemasukan pelancong ke Langkawi.

19. Jumlah kemasukan pelancong pada tahun 2021 (1 Jan-31 Dis 2021) adalah sebanyak 1.07 juta pelancong. Kerajaan telah melancarkan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan telah berjaya mencatat kemasukan pelancong sebanyak 0.72 juta orang mulai 16 Disember hingga 31 Disember 2021.

20. Lonjakan kemasukan pelancong sangat ketara pada Disember lepas dengan jumlah 297,000 pelancong berbanding sasaran awal sebanyak 250,000 orang. Ini mencatatkan kenaikan sebanyak 119% pada bulan tersebut (berdasarkan perbandingan sasaran awal dan pencapaian). LADA percaya jumlah kedatangan pelancong akan terus meningkat terutamanya di musim cuti sekolah kerana Pulau Langkawi kini menjadi pilihan utama bagi percutian Keluarga Malaysia.

21. Manakala sehingga 3 Februari 2022, jumlah pelancong antarabangsa yang melancong ke Langkawi telah menjangkau 4,455 orang menerusi program ini tanpa sebarang penularan kes direkodkan.

Penutup

Hadirin yang dihormati sekalian,

22. Suka saya mengingatkan, di dalam keterujaan kita menjalani aktiviti harian, janganlah lupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mematuhi prosedur operasi standard bagi mengelakkan penularan jangkitan terus berlaku di Langkawi. Sehingga 16 Februari 2022, kes harian telah menginjak melebihi 25,000 kes sehari di Malaysia dan melebihi 100 kes sehari di Langkawi. Jadi, kita jaga kita.

23. Akhir kata, saya merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjuran Program Penanaman Bakau bersempena dengan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day) 2022 di atas usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kali ini. Semoga usaha murni ini akan diteruskan demi manfaat generasi akan datang serta sektor pelancongan di Langkawi.

Sekian, terima kasih.