Langkawi, 30 Januari 2023 – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan Program Transfer of Technology iaitu Kursus Aplikasi Teknologi bertempat di Ruang Reka STIE, Keluarga Malaysia, Kompleks LADA. Program ini yang disertai oleh seramai 24 orang telah diadakan selama dua hari bermula pada 29 Januari 2023 hingga 30 Januari 2023 dan dibantu oleh tenaga pengajar dari UniMAP iaitu YBrs. TS Erdy Sulino bin Mohd. Muslim Tan, YBrs. PM Dr Muhamad Khairul B. Ali Hassan dan YBrs. PM Dr Fathinul Syahir B. Ahmad Saad.
Melalui program ini peserta telah diberi pendedahan dan bimbingan tentang penggunaan teknologi baharu seperti mesin pencetak 3D, makmal komputer, studio digital, dron, dan Virtual Reality (VR). Para peserta juga diberi taklimat berkaitan bantuan dan geran perniagaan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada usahawan PKS.
Hub ruang reka yang dibangunkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) ini bertujuan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang berteraskan sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan.
Diharapkan hub ini juga dapat melahirkan bakat-bakat tempatan di dalam bidang sains dan inovasi sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersialan.